Spesifikasi Penuh Honor 10 Kini Didedahkan Secara Rasmi Selepas Pelancaran

Honor telah pun melancarkan satu lagi peranti kelas perdana mereka, Honor 10 pada 15 Mei yang lepas, iaitu sehari sebelum majlis pelancaran OnePlus 6 diadakan. Peranti ini merupakan keluaran terbaru mereka selepas melancarkan Honor View 10 lebih awal pada tahun ini.

Telefon pintar yang akan diperkenalkan pada pasaran Malaysia 22 Mei ini, akan disokong oleh cip pemprosesan terkini keluaran Huawei, Kirin 970 dan beroperasi menggunakan sistem EMUI 8.1 yang berlandaskan Android 8.1.



Paparan skrin bagi peranti ini pula bersaiz 5.84 inci dengan resolusi FHD+ yang menggunakan skrin jenis IPS LCD. Reka bentuk takuk juga telah digunakan oleh pihak Honor untuk peranti ini. Manakala bagi sistem nyahkunci pula, peranti ini mempunyai pengesan cap jari yang berada dibawah skrin pada bahagian bawah paparan hadapan.

Honor 10 ini dipersiapkan dengan dwi-kamera utama yang menyokong ciri kecerdasan buatan (AI) bersama gabungan lensa 24MP + 16 MP. Kamera utama ini juga mempunyai bukaan aperture sehingga f/1.8. Kamera swafotonya pula menggunakan lensa 24MP yang turut menyokong mod potret AI.



Berkenaan dengan sistem kuasanya pula, Honor 10 hadir dengan bateri berkapasiti 3,400 mAh yang mampu bertahan selama lebih 12 jam dengan penggunaan sederhana. Peranti ini juga akan dibekalkan dengan sambungan USB Type-C serta sokongan ciri pengecasan pantas. Ia turut terdapat pot khas untuk penggunaan bicu fon telinga 3.5mm.

Menurut pihak Huawei Malaysia, peranti ini akan memepunyai dua variasi memori, iaitu 4GB RAM dan 6GB RAM. Manakala bagi ruang simpanan dalaman pula cuma terdapat satu pilihan iaitu 128GB ROM dan tidak menyokong fungsi kad mikroSD.



Keistimewaan peranti ini ialah pada rekaan belakangnya. Dengan mengggunakan 15 lapisan gelas kaca 2.5D, ia akan memberikan satu refleksi cahaya yang cantik sehingga sedikit perubahan pada warnanya akan kelihatan jika memandangnya dari sudut-sudut berbeza. Ia kelihatan seakan-akan Huawei P20 Pro versi Twillight yang lebih mahal.

Walaubagaimanapun, harga peranti ini bagi pasaran Malaysia masih belum mahu didedahkan oleh pihak Honor Malaysia. Namun mereka ada mengatakan jaminan bahawa ia merupakan satu harga yang berbaloi dengan nilai yang ada pada peranti Honor 10 ini. Anda boleh ikuti laman Facebook rasmi mereka untuk mengetahui info terkini berkenaan Honor 10.

Sumber