Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Sokong Ekosistem Pusat Data AI, Vertiv Rasmi Buka Kilang Infrastruktur Gergasi Di Johor

Posted on Julai 3, 2026

Gergasi infrastruktur digital kritikal global, Vertiv, secara rasmi membuka kilang pembuatan baharunya di Senai, Johor bagi memperluaskan kapasiti pengeluaran komponen perkakasan kecerdasan buatan (AI) dan pengiraan berketumpatan tinggi.

Langkah strategik ini diambil bagi memenuhi lonjakan permintaan pasaran pusat data di rantau Asia termasuk Asia Tenggara, Asia Utara, Australia, dan New Zealand.

Fasiliti seluas 236,000 kaki persegi ini memanfaatkan ketersambungan serantau Johor yang kini berkembang pesat sebagai hab teknologi utama.

Fasiliti di Johor ini menyokong fasa pembuatan hujung-ke-hujung (end-to-end), pemasangan, serta ujian pengesahan untuk infrastruktur terma (thermal) dan kuasa termaju.

Antara produk utama yang bakal dihasilkan termasuk unit agihan cecair penyejuk Vertiv™ CoolChip (CDU) untuk aplikasi penyejukan terus ke cip (direct-to-chip), penyelesaian kuasa pasang siap Vertiv™ Power Module, serta sistem infrastruktur overhed Vertiv™ SmartRun yang mampu mempercepatkan tempoh pemasangan di lapangan sehingga 85 peratus berbanding kaedah tradisional.

Selain itu, kilang ini dilengkapi ruang ujian khas untuk menguji sistem penyejukan cecair dan modul kuasa di bawah simulasi dunia sebenar sebelum dihantar kepada pelanggan enterprise dan pengkomputeran awan.

Ketua Pegawai Eksekutif Vertiv, Giordano Albertazzi, menyatakan bahawa peluasan rantaian pembuatan di Malaysia adalah kritikal bagi membantu pelanggan menguruskan keperluan kuasa dan haba ekosistem AI gred tinggi yang semakin berevolusi dengan lebih pantas dan berdaya tahan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Tuan Haji Natazha Hariss, menyambut baik pelaburan berskala besar ini yang dijangka bakal menjana sehingga 500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2027, sekali gus memacu pembangunan bakat tempatan dalam sektor pembuatan termaju.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress