SKMM: Sokongan Dan Kerjasama Kerajaan Negeri Kritikal Untuk Perluaskan Akses Jalur Lebar Kepada Rakyat

Projek rintis jalur lebar berkelajuan tinggi sudahpun dimulakan disebahagian kawasan dalam daerah Jasin.

Ia merupakan dasar kerajaan didalam Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang menyasarkan Malaysia kearah sebuah negara digital.

Mengutip siaran akhbar dari SKMM, antara faktor utama yang mempercepatkan akses jalur lebar dalam negara adalah kerjasama dan sokongan daripada kerajaan negeri.

Pengerusi SKMM, Encik Al-Ishsal Ishak menyatakan kerjasama dari kerajaan negeri Melaka antara faktor utama proses persediaan projek rintis itu berjaya dilaksanakan dengan lebih pantas, sepertimana yang dilaporkan dalam siaran akhbar tersebut.

Selain itu, projek rintis di Jasin juga mendapat kerjasama baik daripada Majlis Perbandaran Jasin dalam memberi kelulusan pemasangan kabel fiber dikawasan mereka.

Antara fasiliti terawal yang menerima internet kelajuan tinggi adalah Pos Laju dan SKMM akan meluaskan lagi penawaran kepada hospital, perpustakaan negeri, sekolah dan juga balai polis.

SKMM juga mengalu-alukan kerajaan negeri lain yang mahu menyaksikan projek rintis itu untuk menghubungi mereka dan seterusnya menyaksikan dengan sendiri perkhidmatan jalur lebar yang dilancarkan secara rasmi kelmarin.

Tambahan lain, SKMM bercadang untuk memperbanyakkan lagi projek rintis seperti di Jasin dibawah inisiatif NFCP. Projek rintis di Sabah dan Sarawak pula akan dijalankan menggunakan teknologi satelit yang mana pengumumannya akan dibuat kelak.



Sumber: SKMM

Kredit foto utama: SKMM