JASIN, 8 Jan (Bernama) -- Pembangunan infrastruktur Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) penting bagi Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya pelanggan di luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Syed Md Najib Syed Md Noor berkata pelaksanaan NFCP akan menyokong pembangunan perkhidmatan digital yang disediakan di Pos Malaysia secara automasi ke arah perkhidmatan 'paperless' dan seterusnya 'cashless' dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Pos Malaysia berada di serata Malaysia termasuk di kawasan luar bandar atau pedalaman dan pembangunan NFCP khususnya di kawasan tersebut akan membantu kita menyediakan pelbagai perkhidmatan menerusi platform digital sekali gus memudah dan mempercepatkan urusan pengguna.
"Menerusi pembangunan NFCP yang menyeluruh di seluruh negara, kita yakin pelbagai produk atau perkhidmatan baharu dapat diperkenalkan dalam memberi variasi atau pilihan kepada pengguna untuk terus menikmati kemudahan tersebut," katanya kepada pemberita pada Hari Terbuka Pos Malaysia: Digital dan e-Dagang di Pejabat Pos Jasin di sini, hari ini.
Hari Terbuka Pos Malaysia itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Kerk Chee Yee dan Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) Tan Sri Leo Moggie.
Pada program berkenaan, Gobind turut meluangkan masa melawat gerai yang mempamerkan pelbagai produk sedia ada dan baharu keluaran Pos Malaysia selain menguji kelajuan fiber optik di bawah projek rintis NFCP yang dilaksanakan TNB.
Syed Md Najib berkata buat masa ini, pelbagai perkhidmatan digital yang dibangunkan Pos Malaysia mendapat kerjasama daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) dan beliau tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan TNB pada masa hadapan berdasarkan keperluan.
"Buat masa ini, kerjasama Pos Malaysia dengan TNB hanya melibatkan pilot projek NFCP ini yang mana perkhidmatan jalur lebar yang dibangunkan akan diguna pakai di Pejabat Pos Jasin dan kita akan melihat secara terperinci 'proof of concept' daripada kerjasama ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Pos Malaysia akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam segmen pos, logistik serta e-Dagang di negara ini menerusi tiga inisiatif digital serta automasi iaitu teknologi Identiti Pintar Malaysia (MsiD+), Kios Layan Diri Pos Laju dan Pos Laju EziBox.
Beliau berkata selari dengan agenda Identiti Digital Nasional, Pos Malaysia akan memperkenalkan MsiD+ iaitu teknologi digital yang dilengkapkan dengan sistem biometrik yang membolehkan pihaknya menawarkan ‘identiti digital’ pelbagai pilihan kepada orang awam melalui lebih daripada 1,000 rangkaian di seluruh negara.
"Menerusi teknologi ini, pelbagai perkhidmatan dalam talian termasuk khidmat pos digital, e-Dagang, e-Kerajaan serta penstoran dokumen terkawal dapat dilakukan sendiri oleh pengguna dengan mudah dan cepat. Teknologi ini masih dalam proses pembangunan menyeluruh sebelum dilancarkan dalam masa terdekat," katanya.
Selain itu, beliau berkata Kios Layan Diri Pos Laju juga akan diwujudkan di pejabat pos terpilih di seluruh negara sebagai perkhidmatan nilai tambah yang memberikan kelebihan kepada pelanggan dan projek perintis kios itu dijangka dilaksanakan Mac depan.
Katanya menerusi kemudahan itu juga, satu aplikasi khas akan dibangunkan dan pelanggan boleh mengisi maklumat penghantaran, mencetak nota konsaimen dan mengirim bungkusan dari rumah atau pejabat pos berhampiran.
"Kita juga akan memperluas dan menambah baik perkhidmatan Pos Laju EziBox yang merupakan inovasi sistem lokar pintar agar kemudahan tersebut dapat dinikmati secara menyeluruh terutama bagi golongan yang sibuk dan tidak mempunyai masa ke Pejabat Pos untuk mengambil parcel mereka," katanya.
Beliau berkata setakat ini kemudahan infrastuktur EziBox Pos Malaysia boleh didapati di 110 lokasi termasuk di stesen minyak dan pusat membeli-belah, selain 60 lagi lokar akan dipasang di lokasi terpilih sepanjang tahun ini.
-- BERNAMA
Berkaitan
- Xiaomi Akan Lancar Mi Box, Boleh Ubah Sebarang TV Kepada TV Pintar
- Cara Memainkan Video Youtube Walaupun Skrin Telefon Di Tutup
- Peranti OPPO Dengan 4 Kamera Bakal Tiba Tidak Lama Lagi
- ASUS ROG Phone Bakal Masuk Malaysia Tidak Lama Lagi
- 'SMS Pertama Di Dunia' Dijual Dalam Bentuk NFT Pada Nilai Lebih Setengah Juta
- Spesifikasi Snapdragon 670, 640, Dan 460 Tertiris
- Play Music Dan Youtube Red Mungkin Digabungkan Menjadi Satu Perkhidmatan
- LG Akan Perkenal Pelitup Muka Dengan Ciri Dwi Kipas Pembersihan Udara
- Telefon Pintar Honor Dengan 4 Kamera Dikhabarkan Pelancarannya 13 Disember Ini
- Melaka Guna Dron Untuk Kesan Tempat Pembiakan Nyamuk