Siri Samsung Galaxy Paling Inovatif Akan Diperkenalkan Tahun Hadapan - WSJ

Sebuah laporan daripada akhbar The Wall Street Journal hari ini mendakwa bahawa Samsung akan memperkenalkan satu lagi siri di bawah jenama Samsung Galaxy iaitu Galaxy X. Siri berkenaan dilaporkan akan tiba di pasaran pada tahun 2019 nanti.

Pada awal tahun ini, Samsung dilaporkan telah mempertontonkan peranti prototaip pertama bagi siri tersebut dalam satu sidang media tertutup di semasa acara CES 2018 sedang berlangsung. Peranti itu dikatakan adalah sebuah peranti boleh lipat, seperti yang pernah dipatenkan oleh Samsung pada tahun 2017.



Peranti yang turut dikenali sebagai 'Winner' itu turut didakwa akan memaparkan paparan pada 'sebahagian besar' peranti apabila lipatannya dibuka. Ia akan hadir dengan paparan skrin 7 inci yang boleh dilipat separuh, sama seperti beg dompet yang sering digunakan kaum lelaki.

Ini menjadikan Galaxy X boleh dianggap sebagai tablet mini yang lebih sesuai terutamanya bagi mereka yang suka berhibur menggunakan peranti mudah alih. Bagaimanapun, perkara ini masih diperingkat ura-ura dan reka cipta akhir peranti ini mungkin berbeza dengan apa yang tertiris setakat ini.

Sekiranya laporan ini tepat, ia akan memberi tamparan kepada semua pencabar Samsung di mana mereka berkemungkinan akan menjadi pengeluar pertama yang menghasilkan peranti Android boleh lipat. Namun bagitu, harga jualannya hampir pasti akan lebih tinggi berbanding Galaxy S dan Note yang ada pada hari ini.

Sumber