Xiaomi Malaysia hari ini melancarkan siri telefon pintar baharu REDMI 17, yang terdiri daripada REDMI 17 5G dan REDMI 17, bersama sebuah lagi model mampu milik, REDMI A7. Ketiga-tiga peranti ini hadir dengan penawaran yang memfokuskan kepada ketahanan bateri, paparan besar dan prestasi harian pada harga yang berpatutan.
Siri REDMI 17 tampil dengan bateri berkapasiti 7,500mAh yang dipadankan bersama sokongan pengecasan pantas 45W, membolehkan pengguna menikmati penggunaan lebih lama untuk aktiviti seperti penstriman video, media sosial, permainan dan tugasan harian tanpa perlu kerap mengecas.

Kedua-dua REDMI 17 dan REDMI 17 5G menggunakan paparan LCD 6.9 inci beresolusi 1600 × 720 dengan kadar segar semula sehingga 120Hz, selain menawarkan kecerahan sehingga 825 nits dalam mod High Brightness Mode (HBM). Paparan ini turut menerima pensijilan TÜV Rheinland bagi penapisan cahaya biru, bebas kelipan dan mod mesra ritma sirkadian.
Dari segi prestasi, REDMI 17 5G dikuasakan cip Snapdragon 4 Gen 5 yang dipadankan dengan storan UFS 2.2, manakala Redmi 17 menggunakan cip MediaTek Helio G91-Ultra bersama storan eMMC 5.1. Kedua-dua model turut menyokong penambahan RAM sehingga 12GB melalui ciri Memory Extension.

Bagi fotografi, siri REDMI 17 dilengkapi sistem kamera AI dwi 50MP yang dibantu teknologi AI untuk mengoptimumkan pencahayaan, warna dan pengecaman pemandangan bagi menghasilkan gambar yang lebih baik dalam pelbagai situasi.
Siri ini juga mempunyai penarafan IP64 yang memberikan perlindungan terhadap habuk dan percikan air, selain menjadi siri REDMI pertama yang memperkenalkan Dynamic RGB Light, membolehkan pengguna menetapkan kesan pencahayaan untuk notifikasi dan panggilan masuk.
Antara ciri lain yang turut disertakan ialah pengimbas cap jari di sisi, AI Face Unlock, NFC, Wi-Fi dwijalur dan Xiaomi HyperOS 3.

Pada masa sama, Xiaomi turut memperkenalkan REDMI A7 sebagai pilihan lebih mampu milik untuk kegunaan harian.
Peranti ini dilengkapi paparan LCD 6.88 inci dengan kadar segar semula sehingga 120Hz, cip Unisoc T7250 lapan teras, bateri 5,200mAh yang menyokong pengecasan 15W serta kamera utama 13MP AI.

REDMI A7 turut menawarkan pengimbas cap jari di sisi, AI Face Unlock dan bicu audio 3.5mm.
Siri REDMI 17 dan REDMI A7 boleh didapati di Xiaomi Store seluruh negara, laman web rasmi Xiaomi Malaysia serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
REDMI A7 pula akan mula dijual bermula 15 September.

Berikut ialah harga rasmi untuk pasaran Malaysia:
- REDMI 17 5G (4GB + 128GB) – RM799 (harga promosi RM769)
- REDMI 17 5G (4GB + 256GB) – RM899 (harga promosi RM869)
- REDMI 17 (4GB + 128GB) – RM699 (harga promosi RM669)
- REDMI A7 (3GB + 64GB) – RM469
Sempena pelancarannya, Xiaomi turut menawarkan promosi selepas jualan bagi pembelian siri REDMI 17 dari 8 hingga 31 Ogos.
Promosi tersebut merangkumi jaminan selama 24 bulan, satu penggantian skrin percuma dalam tempoh 24 bulan, satu penggantian bateri percuma dalam tempoh 36 bulan serta satu penggantian penutup belakang atau lensa kamera percuma dalam tempoh 24 bulan.
