Siri Pixel 8 Rasmi - Sokongan Kemas Kini Sehingga 7 Tahun

Google hari ini telah mengadakan acara khas bagi pelancaran beberapa produk, termasuk Pixel 8 dan Pixel 8 Pro.

Menariknya, kedua-dua model ditawarkan dengan Android 14, bersama sokongan kemas kini Android OS dengan tampalan keselamatan sehingga 7 tahun. Ya, tujuh tahun, berbanding model tahun lalu dengan hanya 5 tahun sokongan kemas kini.

{suggest}

Pixel 8 Pro




Model paling premium Google, Pixel 8 Pro hadir dengan kemasan kaca matte. Peranti ini didatangkan dengan paparan Super Actua Display bersaiz 6.7-inci dari jenis LTPO OLED bersama resolusi 1344 x 2992, 20:9, kadar segar semula 1-120Hz bergantung kepada penggunaan. Maksimum kecerahan adalah sehingga 2,400 nits.



Peranti ini dijana cip pemproses Google Tensor G3 dengan cip keselamatan Titan M2. Ia digandingkan bersama 12GB RAM LPDDR5X dan sehingga 1TB storan yang berasaskan UFS 3.1.



Beralih ke bahagian belakang, terdapat sensor suhu baharu yang ditempatkan di bawah flash.

Peranti ini mempunyai tetapan tiga lensa yang diletakkan dalam satu bar sama, sedikit perubahan rekaan berbanding tahun lalu. Ia dilengkapi 50MP utama, 48MP ultra-lebar dan 48MP telefoto dengan zum optikal 5x dan Super Res Zoom sehingga 30x. Kamera utama dan telefoto turut mempunyai sokongan OIS dan EIS.



Sementara itu, kamera swafoto mempunyai tetapan 10.5MP dengan autofokus. Antara ciri kamera yang tersedia untuk Pixel 8 Pro termasuk Pro Controls, Photo Unblur dan sebagainya.

Kedua-dua kamera hadapan dan belakang Pixel 8 Pro menyokong rakaman video sehingga 4K/60fps, bersama ciri Audio Magic Eraser yang bertujuan untuk mengurangkan gangguan bunyi dalam video serta Video Boost.



Bagi menghidupkan peranti, Pixel 8 Pro diisi dengan kapasiti bateri 5,050mAh bersama sokongan pengecas 30W yang dijual berasingan serta port USB Type-C 3.2.



Antara lainnya, ia hadir dengan sokongan sensor cap jari bawah paparan, Face Unlock, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.3, NFC serta dilindungi Gorilla Glass Victus 2 bersama penarafan IP68. Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkan iaitu Bay, Obsidian dan Porcelain.

Pixel 8




Pixel 8 dengan kemasan glossy mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding versi Pro. Peranti ini dilengkapi paparan Actua Display berukuran 6.2-inci dari jenis OLED dengan resolusi FHD+, 20:9, kadar segar semula 60-120Hz serta maksimum kecerahan 2,000 nits.

Cip yang dimuatkan pada model standard ini sama sahaja seperti versi Pro, iaitu Google Tensor G3 bersama cip keselamatan Titan M2, serta memori RAM 8GB LPDDR5X dan sehingga 256GB storan yang juga berasaskan UFS 3.1.



Untuk kamera, Pixel 8 mempunyai tetapan dua lensa yang terdiri daripada 50MP utama dengan sokongan OIS, EIS dan Super Res Zoom sehingga 8x serta 12MP ultra-lebar, dan 10.5MP swafoto.

Bagi rakaman video, kedua-dua lensa depan dan belakang Pixel 8 mempunyai sokongan rakaman video sehingga 4K/60fps. Ia turut mempunyai ciri Audio Magic Eraser.



Kapasiti sebanyak 4,575mAh diisi pada bahagian bateri Pixel 8 dengan sokongan pengecasan 30W melalui port USB Type-C 3.2.



Antara lainnya hampir sama sahaja seperti versi Pro, ia didatangkan dengan sokongan Wi-Fi 7, Bluetooth 5.3, NFC serta dilindungi Gorilla Glass Victus bersama penarafan IP68. Tiga pilihan warna yang tersedia ialah Hazel, Obsidian dan Rose.

Harga


Berikut adalah harga jualan bagi Pixel 8 dan 8 Pro:
Pixel 8


  • 8GB + 128GB - $699 (~RM3,306)

  • 8GB + 256GB - $759 (~RM3,590)


Pixel 8 Pro


  • 12GB + 128GB - $999 (~RM4,726)

  • 12GB + 256GB - $1,059 (~RM5,010)

  • 12GB + 512GB - $1,179 (~RM5,577)

  • 12GB + 1TB - $1,399 (~RM6,618)


Pra-pesanan sudah pun bermula hari ini. Google juga memberikan Pixel Buds Pro percuma atau diskaun $200 untuk Pixel Watch 2.

Namun, sayang sekali, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, Google masih belum terbuka hati membawa masuk peranti Pixel secara rasmi untuk pasaran Malaysia.