Adakah Selamat Guna Telefon Semasa Petir? Ini Penjelasannya

Ketika ini, musim monsun yang sedang melanda negara mungkin menjadi kerisauan bagi penggunaan telefon pintar semasa ribut petir.

Namun, mungkin masih ada yang belum tahu bahawa penggunaan telefon bimbit adalah lebih selamat jika dibandingkan dengan penggunaan telefon yang disambung dengan kabel telefon dalam sesebuah bangunan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, (MetMalaysia) Jailan Simon berkata, penggunaan telefon dengan sambungan kabel seperti telefon rumah mampu bertindak sebagai konduktor cas elektrik yang menjadikannya boleh disambar petir. Namun, kebarangkalian telefon bimbit disambar kilat juga boleh berlaku sekiranya sedang dicas dengan wayar pengecas sambil digunakan semasa kejadian ribut petir.

Tanpa sambungan fizikal, telefon bimbit adalah masih selamat untuk digunakan di rumah ketika petir.

guna telefon semasa petir

John Jensenius, Pakar Keselamatan Petir dari NOAA di Amerika Syarikat berkata,

“Cell phones, small metal items, jewelry, etc., do not attract lightning. Nothing attracts lightning. Lightning tends to strike taller objects,”

Dalam pada itu, berbanding penggunaan telefon, perkara yang perlu diutamakan adalah lokasi anda ketika petir. Dan Kottlowski, Pakar Meteorologi Accuweather turut berkata, jika berada berhampiran menara telekomunikasi, objek atau bangunan yang tinggi, kejadian seperti disambar petir mungkin akan berlaku.

Dalam erti kata lain, berada di luar atau kawasan terbuka ketika ribut petir adalah lebih berbahaya walaupun tanpa telefon bimbit.

Sumber: Bernama, ScienceLine, Accuweather, Lightning Effect on Cell Phones