Bagaimana 'Goal Line Technology' Mula Diperkenalkan Dalam Sukan Bola Sepak?

Sukan bola sepak sememangnya mempunyai peminat yang ramai secara global. Selain dari kemasyhurannya, ia juga mempunyai pelbagai kontroversi sepertimana yang terdapat pada sukan lain.

Antara kontroversi yang amat popular suatu ketika dahulu ialah keputusan gol yang diberikan pengadil. Sebelum teknologi yang lebih spesifik mula diperkenalkan, ketepatan keputusan pengadil selalu menjadi masalah dan topik perbalahan hangat di antara pihak berkepentingan dan peminat.



Sebagai contoh, pernah suatu ketika dimana gol yang dijaringkan Luis Garcia ketika melawan Chelsea dan kesilapan Roy Carroll ketika melawan Newcastle telah menyebabkan timbulnya pelbagai kontroversi.

Bagaimana Goal Line Technology diperkenalkan dalam sukan bola sepak?


Dari pendidikan hingga permainan dan penjagaan kesihatan ke bidang sukan, teknologi mula diperkenalkan untuk memperbaiki bagaimana sesuatu perkara dilakukan dalam usaha untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.



Menjadi titik tolak yang menyebabkan teknologi lebih spesifik digunakan adalah gol Frank Lampard ketika perlawanan menentang Jerman pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Gol tersebut dibatalkan oleh pengadil walaupun bola telah melepasi garisan.

Kontroversi yang berlaku mula menjadi bualan hangat. Pada tahun 2012, International Football Association Board (IFAB) telah meluluskan penggunaan Goal Line Technology (GLT).

Penggunaan teknologi yang terlalu banyak dalam sesebuah permainan telah ditentang bertahun lamanya berikutan akan melambatkan permainan. Namun, FIFA akhirnya terpaksa akur dan mula memperkenalkan GoalControl dalam GLT pada Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Brazil.

Apa sebenarnya Goal Line Technology?


Goal-line technology atau GLT adalah teknologi yang digunakan bagi menentukan sama ada bola melepasi garisan gol atau sebaliknya.

apa itu goal line technology

Setiap stadium yang mempunyai GLT akan menempatkan 14 buah kamera dengan 7 kamera berkenaan memfokuskan kepada satu gawang gol.

apa itu goal line technology

Beberapa peralatan elektronik lain digunakan pada gawang gol dimana ia menggunakan frekuensi dan akan menghantar isyarat kepada jam yang digunakan oleh pengadil perlawanan.

Sehingga Januari 2020, FIFA telah menyenaraikan 109 stadium dengan pemasangan lesen GLT. 106 darinya menggunakan sistem Hawk-Eye, manakala selebihnya menggunakan sistem GoalControl.

Kesilapan dalam penggunaan GLT


Walaupun begitu, ia juga mengundang kritikan dengan teknologi yang digunakan. Selain kritikan yang berkisar pada aspek teknikal dari teknologi yang digunakan, kritikan juga menunjukkan bahawa teknologi tersebut mempengaruhi elemen permainan manusia dan menghilangkan keseronokan dalam perdebatan.

apa itu goal line technology

Ianya juga berhadapan dengan beberapa kegagalan yang menyebabkan sistem ini pernah digantung oleh LFP. Sistem ini turut diteliti semula pada Jun 2020 selepas perlawanan antara Aston Villa dan Sheffield United di Liga Perdana Inggeris. Ia berikutan kegagalan teknologi untuk memberikan gol kepada Sheffield United.

Kesimpulan


Penggunaan teknologi ini bukanlah bagi menggantikan sepenuhnya tugas pengadil. Namun, ia membantu pengadil dalam memberikan keputusan yang adil dan tepat dalam sesuatu perlawanan bola sepak.



Oleh kerana kos penggunaan yang tinggi, teknologi ini hanya digunakan bagi acara sukan bola sepak yang lebih besar. Antaranya termasuk Piala Dunia, Liga Juara Eropah, Piala Europa dan sebagainya.

Dalam pada itu, dengan inovasi yang sentiasa bergerak ke hadapan, tidak mustahil jika kaedah atau teknologi yang lebih baik digunakan pada masa akan datang bagi menggantikan teknologi sedia ada.

Rujukan: Tech Point, Science ABC, Geospatial, Wikipedia