Apakah Yang Dimaksudkan Dengan UFS 3.1 Dalam Telefon Pintar?

Jika bercakap mengenai spesifikasi telefon pintar, tumpuannya lebih kepada jenis cip pemprosesan yang digunakan. Tidak kurang juga berkaitan RAM mahupun kemampuan kamera yang dimuatkan pada peranti. Untuk melihat kemampuan peranti, ia sebenarnya adalah lebih daripada itu dan antara ciri penting lain termasuk jenis storan yang digunakan.



Secara tipikal, kebanyakan telefon pintar dan tablet menggunakan storan eMMC (embedded MultiMediaCard) yang lebih 'berusia' dan murah untuk menyimpan maklumat. Bagaimanapun, Universal Flash Storage atau dikenali sebagai UFS mula diperkenalkan pada peranti flagship dan antara peranti awal yang menggunakannya adalah Samsung Galaxy S6.

Apa itu UFS?


Universal Flash Storage atau singkatannya UFS merupakan standard bagi teknologi storan yang dibangunkan oleh JEDED Solid State Technology. Ia menetapkan bagaimana peranti yang mempunyai cip storan UFS bersambung serta berinteraksi dengan sistem secara menyeluruh.



UFS menawarkan pemprosesan data yang lebih laju dan kecekapan tenaga yang lebih baik berbanding teknologi storan yang terdahulu, eMMC. Boleh dikatakan, UFS direka seperti kelajuan SSD. Apa yang membuatkan UFS lebih baik berbanding standard eMMC adalah kelajuan dan keupayaannya untuk read & write dalam masa yang sama.

Sementara, eMMC hanya menyokong penghantaran data sama ada read atau write dalam satu hala untuk satu-satu masa. UFS juga dapat memproses tugasan secara serentak sementara pada pengguna eMMC harus menunggu satu proses selesai sebelum dapat menggunakan yang lain. Ia menjadikan peranti dengan storan eMMC lebih perlahan daripada peranti berasaskan UFS ketika menyalin fail dan sebagainya.

Kapsyen: Samsung


Teknologi stroran ini telah mula diperkenalkan pada 2011 dengan UFS 1.0. Kemudian diikuti UFS 2.0 pada tahun 2013. Bagaimanapun, hanya pada tahun 2015 ia mula digunakan pada Samsung Galaxy S6.

Kapsyen: Samsung Galaxy S6


Sehingga 2018, JEDEC telah membangunkan standard UFS 3.0 yang telah digunakan pada telefon pintar termasuk Samsung Galaxy Fold, OnePlus 7 Pro, BlackShark 3, Xiaomi Mi 10, realme X2 Pro, ASUS ROG Phone 2 dan sebagainya.

UFS 3.1


Pada awal tahun ini, ia tampil mengumumkan standard baru bagi storan iaitu UFS 3.1. Didatangkan dengan beberapa penambahbaikan daripada UFS 3.0, ia dikatakan lebih laju dan cekap tenaga.

Teknologi storan UFS 3.1 mempunyai tiga aspek peningkatan berbanding versi terdahulu, UFS 3.0. Antaranya adalah Write Booster yang menggunakan non-volatile cache SLC bagi meningkatkan kelajuan Write. Seterusnya adalah DeepSleep untuk pengendalian tenaga yang lebih cekap. Terakhir sekali adalah Performance Throttling Notification yang akan memberitahu hos sekiranya suhu meningkat apabila storan dikerah.

Kapsyen: UFS 3.1 dari Samsung


Antara syarikat pengeluar yang telah menghasilkan komponen storan berasaskan UFS 3.1 termasuk Samsung, realme dan sebagainya. Bagi Samsung, ia menyatakan UFS 3.1 mempunyai 3 kali ganda lebih pantas dari UFS 3.0 yang terdapat pada kebanyakan peranti flagship di pasaran.



Antara manfaat yang diperoleh melalui teknologi storan yang lebih pantas termasuk dari segi prestasi permainan dan juga akses fail bersaiz besar 4K dan 8K.

Dari segi kepantasan, UFS 3.1 berkelajuan 1,200MB/s iaitu 2 kali ganda lebih pantas dari storan SATA SSD pada komputer. Ia juga 10 kali ganda lebih laju dari bacaan kad microSD.

Senarai telefon pintar dengan storan UFS 3.1


Pada masa ini, kebanyakan peranti masih dimuatkan dengan UFS 3.0. Namun, beberapa peranti terawal telah mula dimuatkan dengan UFS 3.1. Antaranya adalah iQOO 3, Vivo NEX 3S, Poco F2 Pro serta Lenovo Legion Duel Phone dan ASUS ROG Phone 3 yang telah dilancarkan 23 Julai lepas.

Kapsyen: ASUS ROG Phone 3


Terdapat spekulasi yang menyatakan siri Galaxy Note 20 dan Black Shark 3S juga akan menggunakan storan berasaskan UFS 3.1.

Sumber: GizChina, Samsung, Livemint, SmartPrix