Gimik Atau 'Barang Baik'? Ini Beza Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy Dengan Snapdragon Biasa

Dengan pelancaran siri Galaxy S23 awal pagi tadi, kita diperdengar sebuah terma baharu, yang entah untuk pemasaran semata-mata atau benar-benar 'barang baik iaitu Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy.
Berita baiknya, tiada lagi perbezaan cip mengikut negara. Ya, tiada Exynos. Semua pengguna dapat nikmati cip yang sama dan berkuasa tidak kira dari mana ia dibeli.

Seperti namanya juga, kita boleh faham bahawa ia merupakan edisi khas dibuat untuk telefon Samsung.

Jadi, ayuh kita siasat apakah ia sekadar nama atau ada perbezaan dengan Snapdragon biasa.



Pertama sekali, rupa-rupanya ada peningkatan daripada segi clock speed CPU Kryo di dalamnya.

Kalau cip biasa berkelajuan 3.2Ghz, manakala 8 Gen 2 for Galaxy berkelajuan 3.36GHz.

Bagi clock speed GPU Adreno pula, dinaikkan daripada 680MHz to 719MHz.



Kita boleh andaikan kalau 8 Gen 2+ dilancarkan, maka peningkatan sebeginilah ditawarkan.

Ada juga yang risau kalau-kalau peningkatan ini akan memberi kesan pada isu pengeluaran haba melampau seperti yang biasa berlaku pada sesetengah telefon bercip Snapdragon.

Menurut ZDNet, Samsung memberitahu bahawa enjin NPU pada Galaxy S23 telah dioptimasi lebih 40% untuk seimbangkan antara prestasi dan kuasa (bateri) lantas akan memberikan prestasi bateri yang lebih bagus dengan peningkatan kecekapan kuasa.



Jadi, itulah antara perbezaan utama versi cip Snapdragon biasa dengan yang berhujungkan 'for Galaxy'.

Oh ya, jika anda ketinggalan, kesemua cip 8 Gen 2 merupakan dalam binaan 4nm yang dikilangkan oleh TSMC.

Selesai bab 8 Gen 2 for Galaxy -- prestasi yang lebih bagus, besar kemungkinan tidak dirasai dalam penggunan harian tapi pastinya anda dapat berlagak dengan keputusan penanda aras.

Yang pertama ada Semantic Segmentation


Alang-alang kita masih bercakap tentang cipnya, anda perlu tahu bahawa S23 juga menjadi telefon pertama hadir dengan ciri Semantic Segmentation walaupun ia bukanlah ekslusif untuk edisi Galaxy.



Ia merupakan ISP (image signal processor) yang berperanan mengenal pasti, memisahkan serta mengoptimasi objek dalam video dan gambar, dalam masa nyata (real-time).

Misalnya, kaca cermin mata dengan persekitaran sekeliling dan belakangnya. Dengan ciri ini, mungkin ia boleh membuang pantulan pada cermin mata dipakai si model kerana keberkesannya mengesan jenis objek.

Untuk permainan pula, saya pasti kita akan dapat merasai perbezaannya.

{suggest}

Hal ini kerana GPU pada S23 menyokong ray-tracing dalam masa nyata yang mana elemen grafik akan nampak lebih hidup.

Banyak lagi ciri-ciri menaik dan berkuasa ditawarkan Snapdragon 8 Gen 2 asal, anda boleh bacanya di SINI.

Siri S23 mula menerima tempahan mulai sekarang hinggalah 23 Februari 2023 di laman web Samsung Malaysia.

Sumber: Qualcomm