Qualcomm secara rasmi hari ini telah memperkenalkan cip pemproses terbaharu, iaitu Snapdragon 8 Gen 2.
CPU dan GPU
Menurut Qualcomm, cip pemproses baharu ini menawarkan peningkatan 35% dari segi prestasi CPU dengan 40% cekap tenaga serta 25% GPU dengan 40% lebih penjimatan penggunaan tenaga, berbanding cip sebelum ini. Keseluruhan cip ini dibina berasaskan teknologi proses 4nm, sama seperti Snapdragon 8 Gen 1.
Untuk konfigurasi CPU, Snapdragon 8 Gen 2 dilengkapi 1x teras utama Cortex-X3 dengan kelajuan 3.2GHz. Ia dipadankan bersama 4 teras Performance (Cortex-A715) dengan kelajuan 2.8GHz serta 3 teras Efficiency (Cortex-A510) pada 2.0GHz.
Sementara itu, grafik yang digunakan adalah GPU Adreno terkini yang mempunyai keupayaan Ray Tracing serta sokongan API Vulkan 1.3 dan OpenGL ES 3.2.
Snapdragon 8 Gen 2 turut membawakan teknologi memori yang baharu dan lebih pantas. Untuk RAM, ia mempunyai sokongan memori 16GB LPDDR5x dengan kelajuan sehingga 4,200MHz. Storan pula menggunakan format USF 4.0.
Untuk paparan, Snapdragon 8 Gen 2 meyokong sehingga resolusi skrin QHD+ 144Hz atau 4K 60Hz. Cip ini juga disokong dengan video codec AV1 yang membolehkan penstriman sehingga 8K pada 60fps (dengan HDR).
Kamera
Sama seperti generasi sebelumnya, Snapdragon 8 Gen 2 didatangkan dengan 3x ISP (image signal processor) 18-bit yang menawarkan kamera tunggal sehingga 200MP, dua kamera MFNR sehingga 64MP+36MP, tiga kamera MFNR sehingga 36MP serta satu kamera MFNR sehingga 108MP.
Untuk video, cip ini menyokong rakaman sehingga 8K HDR pada 30fps, 4K/120fps dan slow-mo 720p/960fps. Ia juga menyokong beberapa format HDR termasuk HDR10+, HDR10, HLG dan Dolby Vision.
Sambungan
Dari segi sambungan, Snapdragon 8 Gen 2 dinaik taraf dengan modem Qualcomm X70 5G dengan kelajuan maksimum muat turun 10Gbps dan 3.5Gbps muat naik. Modem X70 juga mempunyai sokongan dwi-SIM 5G DSDA (Dual-Active), bermakna dua rangkaian 5G+5G atau 5G+4G boleh digunakan secara serentak.
Melalui sistem FastConnect 7800, cip ini dilengkapi sokongan Wi-Fi 7 dengan maksimum 5.8Gbps. Melalui teknologi Snapdragon Sound, ia juga menyokong spatial audio. Antara lainnya adalah sokongan Bluetooth 5.3, USB-CÂ dan sebagainya.
Prestasi AI juga telah dipertingkatkan melalui pemproses Hexagon dengan 4.35x kali lebih baik.
Qualcomm menyatakan, peranti pertama dengan janaan cip pemproses Snapdragon 8 Gen 2 dijangka akan dilancarkan pada hujung tahun ini.
Sumber: QualcommÂ