Rasmi, Ini Tentang Samsung Galaxy S23, S23+, S23 Ultra Yang Anda Harus Tahu

Siri Galaxy S23 baru saja dirasmikan oleh Samsung. Seperti tahun lepas juga, 3 model dipertaruhkan ialah Galaxy S23, Galaxy S23+ dan Galaxy S23 Ultra menjadi model yang paling berkuasa.

Persamaan ketiga-ketiga model


Pertama sekali, kesemua model ini guna cip Snapdragon 8 Gen 2. Tapi, yang istimewanya ialah cip ini diubah suai khas telefon Samsung, ia dinamakan Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy.



Dari segi rekaan modul kamera belakang, sedikit berbeza berbanding siri sebelum ini di mana kesemua lensa dirumahkan secara berasingan, tiada lagi bonggol yang 'menyatukan' mereka.

Kata Samsung, rekaan ‘contour cut’ yang digunakan pada Galaxy S22 telah ditinggalkan untuk rekaan sekarang yang lebih kemas dan tonjolkan lagi kamera ikonik mereka.

Untuk swafoto, masing-masing menggunakan kamera 12MP.

Kesemua model tersedia 4 pilihan warna iaitu Phantom Black, Cream, Green dan Lavender.

Selain, tiga-tiga model ini juga lengkap dengan skrin Corning Gorilla Glass Victus 2 depan dan belakang.

Untuk perisian pula, mereka akan menjalankan One UI 5.0 berasaskan Android 13.

Galaxy S23




Ia tampil dengan skrin AMOLED bersaiz 6.1 inci dengan paparan berlubang Infiniti-O, kadar segar semula 120Hz.

Storannya ditawarkan dalam 2 pilihan iaitu 128GB dan 256GB manakala RAM pula hanya terdapat dalam 1 pilihan iaitu 8GB.



3 kamera di belakang ialah:

  • 50MP utama

  • 12MP sudut lebar

  • 10MP telefoto (3x zum optikal)


Selain itu, S23 ini datang dengan bateri sebesar 3,900mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W. Untuk pengecasan tanpa wayar, telefon ini boleh dicas dengan kelajuan 15W.

Galaxy S23+




Beralih model yang lebih besar iaitu S23+, telefon ini hadir dengan skrin yang lebih besar iaitu bersaiz 6.6 inci daripada jenis Dynamic AMOLED yang mampu turun sehingga 1Hz.

Juga dengan RAM sebesar 8GB, storannya pula datang dalam 2 varian lebih besar iaitu 256GB dan 512GB.

Bateri pada S23+ ini pula sebesar 4,700mAh. Untuk pengecasan, ia menyokong kelajuan sehingga 45W berwayar dan 15W tanpa wayar.

  • 50MP utama

  • 12MP sudut lebar

  • 10MP telefoto (3x zum optikal)


Kebanyakan spesifikasi lain termasuklah kamera, sambungan Wi-Fi 6E, rangkaian 5G dan lain-lain sama saja dengan model S23.

Galaxy S23 Ultra




Seterusnya, yang menjadi tumpuan semestinya abang long S23 Ultra. Juga dijana Snapdragon 8 Gen 2, RAM pada model ini pula setinggi 12GB.

Untuk paparan, ia hadir dengan skrin Dynamic AMOLED 120Hz sebesar 6.8 inci. Kadar segar semulanya boleh diturunkan sehingga 1Hz.



Untuk storan, ada 3 pilihan iaitu 256GB, 512GB dan 1TB.

Tumpuan utama Galaxy S23 Ultra ini pastinya kameralah.

  • 200MP utama

  • 12MP sudut lebar

  • 10MP telefoto (10x zum optikal)

  • 10MP telefoto (3x zum optikal)




Lensa swafoto pula, ia tampil sedikit berbeza berbanding terdahulu. Samsung Galaxy S22 Ultra menggunakan kamera hadapan 40MP tetapi pada tahun ini, S23 Ultra hadir dengan 12MP. Namun, pemprosesan gambarnya jauh lebih baik.



Beralih pada bateri, model paling berkuasa ini dibekalkan dengan bateri berkapasiti 5000mAh yang sokong pengecasan pantas 45W berwayar dan 15W untuk tanpa wayar.

Ciri-ciri kamera yang ditekankan Samsung


Samsung memang tekankan ciri penggambaran dalam pencahayaan rendah kali ini seperti dengan Nightography, Night Selfie Video, Photo Remaster dan lain-lain.



Contohnya, dengan bantuan AI yang dijana cip pemproses baharu, video waktu malam dirakam akan lebih tajam dengan hingar yang kurang.

Kalau anda suka merakam atau ambil gambar langit waktu malam, Samsung kali ini hadir dengan ciri Astro Hyperlapse iaitu sebuah mod khas untuk rakam pergerakan bintang dan Astrophoto untuk foto.



Expert RAW juga kali ini boleh menangkap gambar dalam resolusi 50MP.

Dengan ciri Adaptive Pixel Sensor pula, 16 piksel akan digabungkan menjadi 1 piksel lantas membuatkan gambar yang kurang pencahayaan jadi terang tapi pada masa sama masih ada perincian.

Bercakap tentang video lagi, ia mampu merakam sehingga resolusi 8K pada 30fps.



Selain itu, sudut OIS juga diluaskan lagi sebanyak 2 kali ganda untuk menambah baik stabilisasi ketika rakaman video dilakukan.

Bercakap tentang video lagi, kalau digunakan bersama Galaxy Buds2 Pro, telefon boleh merakam video dengan audio 360.

Untuk paparan pula, ciri baharu iaitu Advanced Vision Booster akan laraskan ton warna dan kontras mengikut 3 tahap berdasarkan pencahayaan sekeliling anda.

Nak beli?




Galaxy S23

  • 8/128GB - RM3,899

  • 8/256GB - RM4,199 (RM3,899 jika dipratempah)


Galaxy S23+

  • 8/256GB - RM4,699

  • 8/512GB - RM5,199 (RM4,699 jika dipratempah)


Galaxy S23 Ultra

  • 12/256GB - RM5,699

  • 12/512GB - RM6,199 (RM5,699 jika dipratempah)

  • 12/1TB - RM7,199 (RM6,699 jika dipratempah)


Anda boleh pratempahnya mulai sekarang di laman web Samsung Malaysia.

{suggest}