Sebulan Sebelum Tol Sesak Sebab Raya Tapi Kos RFID Masih Kekal RM35

Awal tahun ini, seluruh negara kecoh dengan aduan pengguna lebuh raya yang tertekan dengan pelaksanaan RFID sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri.

Antara keluhan dikongsi di media sosial ialah tentang alat RFID di plaza tol yang tidak cekap mengesan tag pada kereta lantas mengganggu kelancaran perjalanan. Sebahagian yang lain pula mengeluh tentang kualiti pelekat.

Namun, antara yang menjadi isu juga adalah berkenaan kos pemasangan tag atau pelekat RFID yang memakan sehingga RM35.

Ketika fasa percubaannya sekitar 2019, pengguna yang mahu menggunakannya akan dipasang oleh Touch 'n Go secara percuma. Bermula 15 Februari 2022, pengguna perlu membayar RM35 untuk setiap pelekat RFID.

Bukan hanya pihak Kerajaan juga sudah meminta TnG untuk menurunkan harga pelekat RFID tetapi Suruhanjaya Sekuriti juga sudah bertemu dengan TnG pelaksanaannya.

JPJ juga sedang mengkaji teknologi baharu untuk pendaftaran kenderaan di mana ia siap disertakan dengan RFID.



Berbalik pada RFID TnG, hingga ke hari ini masih tiada sebarang bayang berkenaan perubahan harganya. Di aplikasi TnG eWallet sekalipun, harga ditawarkan masih kekal RM35.

Kita difahamkan bahawa Kerajaan dan pihak penyedia lebuh raya mengimplimentasikan RFID sebagai persediaan ke arah lebuh raya tanpa palang, MLFF walaupun Menteri Kerja Raya baru-baru ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia tidak akan menggunakan sistem ERP seperti Singapura.

Semua orang tahu lebuh raya akan sesak setiap kali musim perayaan. Syawal pula akan menjelang tidak kurang sebulan lagi. Dengan kos RM35 untuk sekeping pelekat, saya kurang pasti perkara ini akan menggalakkan pengguna untuk memasangnya.



Secara teorinya, RFID sememangnya melancarkan perjalanan kerana spesifikasi fasilitinya lebih canggih berbanding SmartTAG. Jadi, pastinya ia menarik perhatian pengguna lebuh raya untuk menggunakannya semasa pulang ke kampung.

Tetapi, sistem TnG eWallet sendiri yang dilaporkan pengguna tidak disegerakkan (sync) secara masa nyata juga menjadi punca ramai masih kurang yakin. Ini belum lagi soal pelekatnya yang hanya terhad pada satu kenderaan dan ditambat pada satu akaun TnG.

Secara peribadi, pelaksanaan RFID TnG dengan aplikasi eWallet-nya bagus untuk masa depan dan jangka masa panjang, tetapi dengan pelbagai rungutan berkenaannya dan kos pemasangan RM35, saya tidak fikir ia berbaloi.

Sebagai rakyat Malaysia, kami berharap pihak TnG akan menurunkan harga pelekat RFID dalam masa terdekat, kalau tidak pun sekurang-kurang untuk musim perayaan ini.

Jika anda berminat memasang pelekat RFID, pastikan anda baca artikelnya di sini.

Baca juga: