Samsung Galaxy S8 Mungkin Tidak Didatangkan Dengan Bicu Audio

Dikhabarkan Samsung bakal mengikut jejak langkah Apple dengan membuang bicu audio pada telefon pintar mereka. Menurut Sammobile, Samsung akan membuang bicu audio 3.5mm dari model Galaxy S8. Telefon flagship Samsung itu dikatakan akan dilengkapi dengan port USB Type-C yang akan digunakan untuk mengecas bateri ataupun mendengar lagu. Ini bermaksud anda memerlukan penyesuai (adapter) untuk menyambungkan fon kepala yang anda miliki sekarang ke port USB Type-C itu.

Dilaporkan juga, model Galaxy S8 tidak dilengkapi dengan butang Home. Selain itu, sensor pengimbas cap jari mungkin ditanam disebalik skrin paparan 2K Super AMOLED yang tidak lagi menggunakan susun atur 'PenTile' bertujuan menambah baik dari segi ketajaman paparan terutama sekali untuk realiti maya (VR).

Membuang bicu audio 3.5mm membolehkan Samsung mencipta Galaxy S8 lebih nipis dan mempunyai ruang yang lebih untuk bateri bersaiz besar. Samsung dipercayai akan melengkapkan model terbaru itu dengan speaker stereo dengan kerjasama dengan Harman, sebuah syarikat akan diambil alih oleh Samsung dengan nilai $8bilion.

Samsung akan memperkenalkan Galaxy S8 secara rasmi pada Februari tahun hadapan yang dijadualkan berlansung di Kongres Mudah Alih Dunia bertempat di Barcelona, Sepanyol. Syarikat itu juga belum mahu mengesahkan apa-apa tentang peranti mereka sebelum acara pelancaran. Mungkin mereka masih ada beberapa lagi kejutan untuk dihidangkan kepada peminat telefon Samsung.