ASUS ZenFone 5Z - Tinggi Spesifikasinya, Rendah Harganya

Nama ASUS dalam arena telefon pintar tidaklah se-gah seperti pengeluar yang lain. Kalau dulu dengar sahaja jenama ini, kita agak skeptikal kerana didalam kepala mungkin ada peranti lain yang lebih menarik untuk dimiliki.

Ibarat macam awek disekolah yang kurang popular sebab wajahnya yang biasa, tak cemerlang dalam pelajaran, duduk pula dipenjuru kelas. Tapi lepas beberapa ketika, ia mula mendapat perhatian dengan penampilan yang baru.

Persepsi pembeli terhadap ASUS mula berubah sejak siri ZenFone 4 dimana mereka cuba mengemaskini ZenUI menjadi lebih mesra pengguna dan rekaan telefon pintar yang lebih segar.

Melalui model flagship terbaru, ASUS ZenFone 5Z, kita boleh beranggapan bahawa jenama ini sudah mula serius mahu menawan hati pengguna diluar sana. Diperlengkap dengan spesifikasi flagship hampir menyamai OnePlus 6  tetapi pada harga lebih murah berbanding, ikuti ulasan kami mengenai ZenFone 5Z.

Rekaan luaran (3.5/5)

Pertama kali memandang ASUS ZenFone 5Z, membuatkan kami teringat pada sebuah peranti berjenama buah yang dikritik hebat selepas menggunakan rekaan takuk pada skrin paparan. Lupakan sahaja tentang takuk, anggap saja telefon sedang "tersenyum" melihat anda. Ia dilindungi dengan lapisan Corning Gorilla Glass 3.



Pandang kali kedua, peranti ini kelihatan premium dengan penjurunya yang melengkung, tidak terlalu kotak menjadikannya berasa selesa dipegang. Binaan pada panel belakang diperbuat daripada kaca tetapi sedikit merimaskan kerana setelah penggunaan untuk beberapa ketika, kesan cap jari mula kelihatan mencacatkan rekaannya. Tapi tenang-tenang ceria-ceria semua, hampir semua telefon pintar dengan panel kaca dibelakang mengalami masalah yang sama.



Panel hadapan pula dipasang dengan skrin paparan LCD IPS HD+ penuh berukuran 6.2 inci bernisbah 19:9 serta rekaan takuk yang menempatkan kamera swafoto, dan beberapa sensor yang lain.



Patah balik ke bahagian belakang, tetapan dwi kamera diletakkan secara menegak pada penjuru atas kiri. Tidak jauh berada ditengah adalah pengimbas cap jari berbentuk bulat dan dibawahnya adalah logo ASUS yang samar-samar.

Butang kuasa dan pelaras bunyi disebelah kanan berada ditempat yang selesa untuk ditekan, sementara port UBS -C, bicu audio 3.5mm dan speaker terletak dibahagian bawah. Sisi kiri pula ialah lokasi slot kad sim dan memori kad MikroSD



Berasa sedikit licin untuk dipegang tetapi boleh dielakkan dengan penggunaan sarung pelindung. Anda mempunyai dua pilihan warna iaitu Meteor Silver dan Midnight Blue.

Antaramuka (4/5)

Jika bercakap mengenai antaramuka, sejujurnya kami tidak begitu meminati ZenUI sebelum ini tetapi kemaskini yang dibawakan ASUS kepada ZenFone 5Z berjaya menambat hati. Tidak seperti versi terdahulu, ZenUI 5.0 berasaskan Android 8.0 lebih kemas dan ringkas, walau tak seringkas antaramuka Android asli.



Cuba perhatikan dibahagian bawah skrin, tiada butang Home bukan? ASUS membuang butang fizikal itu dan menyertakan butang maya yang boleh disembunyikan atau dikunci.



Takuk sedikit besar berbanding OnePlus 6, tetapi anda mampu menyembunyikannya melalui ciri Hide Notch.

Antaramuka ini juga menyediakan tema untuk memenuhi halwa mata anda tetapi tidak banyak penawaran tema percuma.

Anda boleh memulakan aplikasi secara pantas dengan ZenMotion. Ketika skrin tidak menyala, anda boleh melakukan beberapa jenis sentuhan, skrin akan menyala dan terus mengaktifkan aplikasi.



Salah satu ciri yang diperkuat melalui kecerdasan buatan adalah app drawer yang memaparkan cadangan aplikasi. Apabila anda menatal skrin keatas, aplikasi yang paling kerap digunakan akan terpapar dibawah dan ia boleh ditukar mengikut citarasa anda. Tetapan lain boleh dilihat pada bahagian Advanced.

Spesifikasi dalaman (4/5)

Bahagian yang paling diberi perhatian setiap kali memilih telefon pintar adalah komponen dalaman. Kami terpegun seketika apabila mengetahui peranti ini dipacu oleh cip pemprosesan Snapdragon 845, cip aras tinggi ketika ini.

Tidak perlu diceritakan lagi tentang keupayaan cip pemprosesan tersebut, tetapi persoalan sekarang bagaimana ASUS mengoptimumkan Snapdragon 845 tersebut.

Bagi mengenalpasti kemampuan peranti, kami menguji melalui permainan PUBG bersama tetapan grafik ditahap HDR, dan Frame Rate di tahap Ultra. Permainan berjalan dengan lancar, tetapi satu atau dua kali ketika sibuk menembak, skrin seakan-akan tidak memberikan respons. Hal yang sama turut diadukan oleh pengguna ZenFone Max Pro M1.

Difahamkan ia berkemungkinan terhasil akibat pepijat multitouch dan kemaskini baik pulih sudah dikeluarkan. Jadi pastikan anda dikemaskini dengan kemaskini yang terkini ya!

Mendampingi cip berkenaan ialah memori RAM 6GB dan ruang menyimpan data sebesar 128GB. Selalu kekurangan memori kerana anda gemar mengambil selfie didalam tandas atau kerap merakam video Tik Tok? ZenFone 5Z mempunyai sokongan memori tambahan menerusi slot kad MikroSD sehingga 2TB.

Disebelah kiri terletaknya slot dwi sim hybrid dimana kedua-duanya menyokong sambungan 4G dan VoLTE. Salah satu daripadanya boleh dijadikan slot kad MikroSD, ciri yang tiada pada OnePlus 6.

Memperkuatkan lagi spesifikasi ZenFone 5Z adalah sistem audio dimana ASUS melengkapkannya dengan speaker 5-magnet stereo, menghasilkan bunyi yang lebih lantang.

Ciri yang semakin trending dalam kalangan pengeluar telefon pintar adalah emoji 3D. Mula dipopularkan oleh Apple melalui Animoji, ASUS pula mempertaruhkan ZeniMoji.



Wajah karakter ZeniMoji bergerak mengikut riak wajah anda tetapi sedikit perlahan. Walaupun tidak sebaik Animoji dan AR Emoji, ia tidaklah menghampakan.

Sistem nyahkunci terdiri daripada pengimbas wajah, pengimbas cap jari, dan ciri lama seperti katalaluan serta corak.

Nyahkunci menerusi wajah boleh dikatakan bertugas dengan baik, tetapi mempunyai sedikit masalah pada kawasan gelap.

Kamera (4/5)

Tetapan yang sama digunakan pada ASUS ZenFone 5, kamera ini mendapat pemarkahan 90 dari DxO Mark. Sesuatu yang sudah tentu menjadi pilihan kepada anda yang gemar mengambil gambar.







Mempamerkan antaramuka yang ringkas memudahkan penggunaan kali pertama.Tatal keatas untuk lihat tetapan, tatal kebawah untuk lihat filter. ZenFone 5Z turut berkebolehan bertukar dari kamera utama kepada kamera sudut luas.

Dwi kamera yang digunakan adalah gabungan antara kamera 12MP(f/2.8) +8MP (f/2.0) diperkuatkan lagi dengan OIS serta EIS.

Kamera swafoto pula mengenakan lensa 8MP (f/2.0) dengan sokongan EIS

Kapsyen: Normal


Kapsyen: Sudut luas


Mempunyai ciri pengesanan berasaskan AI yang pintar memilih mod mengikut persekitaran. Aplikasi kamera boleh mengenalpasti lebih kurang 16 jenis objek seperti orang, haiwan, makanan, tumbuhan dan lain-lain. Satu fungsi yang tiada pada OnePlus 6.





Mod potret boleh dikatakan baik tetapi masih ada ruang penambahbaikan yang boleh ASUS berikan pada masa akan datang.

Gambar yang agak baik boleh dihasilkan pada waktu pencahayaan rendah, apatah lagi kalau ditempat terang. Pendek kata kamera ini memuaskan hati kami.



 

Bateri (3.8/5)

Dijana dengan bateri berkapasiti 3300mAh, dibantu oleh ciri AI dimana ia akan memahami cara pengecasan anda.

Pengecasan selama 30 minit melalui teknologi ASUS BoostMastermampu memenuhkan bateri sekitar 60% dan bagi pengecasan penuh ia mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit.

Penggunaan harian seperti media sosial, bermain PUBG, menonton video YouTube boleh bertahan sehingga satu hari dan bateri masih berbaki 9%.

Harga (4.5/5)

Diletakkan pada harga RM1899, ZenFone 5Z boleh dikatakan berbaloi untuk dimiliki kerana memiliki Snapdragon 845, dan ciri-ciri yang didokong oleh kemampuan AI.

Pada tanda harga tersebut, ia boleh memberi saingan kepada OnePlus 6 dan dilihat sebagai salah satu alternatif kepada flagship killer terbabit. Mengapa perlu bayar lebih jika boleh miliki spesifikasi hampir serupa?

Kesimpulan

Penambahbaikan dari segi antaramuka bawaan ZenUI 5.0, ciri-ciri sokongan AI, cip pemprosesan Snadragon 845, kamera yang mampu beraksi dengan baik pada waktu terang serta kurang pencahayaan, menjadikan ia sebuah peranti yang sesuai kepada anda yang mencari telefon pintar dibawah paras RM2000.

Dua variasi yang akan ditawarkan di Malaysia adalah...

  • RAM 6GB + 128GB serta

  • RAM 8GB + 256GB


...dan masing-masing akan didagang pada nilai RM 1899 serta RM2299.

Ia sama sekali mengubah tanggapan kami tentang peranti keluaran ASUS. ZenFone 5Z diramal mampu menaikkan nama ASUS daripada peranti biasa-biasa kepada peranti sesedap rasa.

Berminat untuk menjadi pemilik kepada ASUS ZenFone 5Z?

Dapatkannya dari pengedar sah ASUS Malaysia, dan juga ia boleh dibeli secara dalam talian menerusi Lazada.

Sempena pelancarannya hari ini, anda boleh dapatkan ASUS ZenFone 5Z pada potongan harga- RM1699 pada 31 Julai 2018 di Lazada

Ikuti video bedah siasat kami keatas ZenFone 5Z dibawah

https://www.youtube.com/watch?v=rIiC74rZ5Q8