Spesifikasi
- Skrin paparan PLS 6.5 inci dengan resolusi 720p
- Cip pemproses Eynos 850
- RAM 6GB
- Storan 64GB dengan sokongan kad MikroSD sehingga 512GB
- Kamera utama 48MP (f2.0), 8MP Ultra lebar (f2.2), 2MP Potret (f2.4) dan 2MP Makro (f2.4)
- Kamera hadapan 13MP (f2.2)
- Bateri 5000mAh
- USB-C, bicu audio 3.5mm, Bluetooh 5.0, slot dwi kad SIM nano dan satu MikroSD, serta menyokong frekuensi 2.4GHz dan 5GHz.
Buka kotak
- 1x Samsung Galaxy A21s
- 1x Pengecas 15W
- 1x Kabel Pengecasan USB-C
Rekaan luar
Samsung Galaxy A21s tampil dengan skrin paparan dari jenis PLS (IPS yang dibangunkan oleh Samsung) dengan lubang menempatkan kamera hadapan berada pada bucu atas kiri.
Sisi kiri terdapat butang kuasa dan ditemani oleh butang pelaras kelantangan bunyi. Bahagian bawah pula diletakkan dengan pembesar suara, port USB-C serta bicu audio 3.5mm. Sisi kanan pula menempatkan slot dwi kad SIM nano dan satu lagi khusus untuk kad MikroSD.
Beralih ke bahagian belakang. Panel kawasan ini diperbuat daripada polikarbonat dengan kemasan berkilat seakan kaca yang memberikan kesan prisma apabila menerima pancaran cahaya. Terdapat tiga pilihan warna yang boleh didapati iaitu hitam, biru dan putih. Bagi kami, warna putih lebih kelihatan elegan dan premium. Panel ini turut melengkung kearah skrin dibahagian skrin dan ia memberikan keselesaan sewaktu memegang peranti.
Kombinasi empat kamera disusun pada penjuru atas kiri didalam modul petak dan tidak jauh daripadanya adalah sensor pengimbas cap jari.
Prestasi
Paparan - Dari segi prestasi kita akan mulakan pada bahagian paparan terlebih dahulu. Penghasilan warnanya cantik, sedikit pekat tetapi kurang perincian. Ini kerana ia hanya menyokong resolusi tertinggi 720p sahaja. Bermakna tontonan pada YouTube hanyalah pada nilai tersebut. Agak mengecewakan juga kerana peranti pada tanda harga sekitar RM900 hanya menyediakan resolusi seperti ini.
Fungsi sekuriti biometrik - Bahagian ini digalas oleh sensor pengimbas cap jari dan wajah. Kedua-duanya beraksi baik dan lancar untuk mengesan wajah dan cap jari pengguna. Berdasarkan pengalaman kami menggunakannya, hanya satu atau dua kali sahaja ia seakan-akan lambat untuk menyahkunci skrin. Pada situasi gelap, ciri nyahkunci berasaskan wajah agak perlahan sedikit berbanding persekitaran yang cerah.
Bateri - Untuk janaan kuasa, Samsung membekalkan peranti ini dengan bateri berkapasiti 5000mAh. Anda pasti boleh menjangkakan dengan bateri sebesar ini ia boleh bertahan lebih dari sehari. Apa yang kami boleh katakan, ia mampu menjangkau sehari setengah untuk penggunaan normal seperti aplikasi media sosial dan lain-lain.
Samsung Galaxy A21s menyokong pengecasan pantas 15W dan untuk isian penuh dari 0% sehingga 100%, ia mengambil masa sekitar 2 jam 10 minit.
Prestasi - Peranti ini merupakan telefon pintar pertama yang dimuatkan dengan cip pemproses Exynos 850. Merupakan cip 8nm, cip ini digunakan untuk menguasakan perant-peranti "bajet" dari Samsung.
Kami berkesempatan untuk melakukan ujian GeekBench 5 dan dibandingkan dengan peranti yang dijual pada harga lebih kurang sama iaitu Redmi Note 9s.
Keputusannya seperti yang dijangka kerana Snapdragon 720G dilihat jauh meninggalkan Exynos 850. Dari sini anda boleh membayangkan peranti (~RM900) mana yang mempunyai lebih keupayaan saat menjalankan aplikasi harian.
Aplikasi permainan - Kami mencuba dua permainan yang cukup popular pada peranti mudah alih iaitu Mobile Legends dan PUBG Mobile. Pertama kali masuk dalam Mobile Legends, tetapan grafik ditetapkan pada Medium dan ia berjalan baik-baik sahaja. Tetapan tersebut dinaikkan pada tahap High dan dilihat visual agak tersekat-sekat. Kami menyarankan supaya anda hanya memilih antara Low dan Medium sahaja untuk prestasi yang lebih baik. Tetapan ini terpakai juga ketika bermain PUBG Mobile.
Kamera - Kombinasi 4 kamera memberikan kelebihan kepada anda saat rakaman gambar dengan penyediaan rakaman ultra lebar, potret dan makro. Terdapat kekurangan dibahagian kamera dimana ia tidak dilengkapi dengan mod malam dan tiadanya sebarang penstabilan imej.
Hasil kamera memperlihatkan kontras yang agak tinggi yang seterusnya menjadikan warna lebih pekat dengan sedikit perincian. Bagi rakaman malam pula, imej agak tidak berupaya memberikan ketajaman dan terdapat hingar. Jadinya, sebelum memulakan rakaman anda perlulah memastikan sumber pencahayaan yang lebih untuk mendapatkan imej terbaik. Namun begitu, pada pandangan kami, hingar yang ada pada imej masih lagi boleh diterima dan ia bergantung kepada mata yang melihat. Secara keseluruhannya kamera berkebolehan untuk merakam imej yang baik.
Kesimpulan
https://www.youtube.com/watch?v=21jHPf-FFfE&t=217s
Apa yang boleh diperkatakan, Samsung Galaxy A21s datang dengan rekaan luar yang menarik dan selesa untuk dipegang. Namun begitu, tanda harga RM889 yang diletakkan pada peranti ini dilihat agak keras untuk sebuah peranti dengan prestasi seperti ini. Jika dibandingkan dengan peranti pada tanda harga sekitar RM900, dirasakan anda boleh menikmati lebih prestasi pada Redmi Note 9s. Untuk ulasan penuh, anda boleh saksikan video diatas.