Samsung Galaxy Tab S4 Dilancarkan Secara Rasmi

Samsung Galaxy Tab S4 kini telah dirasmikan lewat malam tadi pada satu majis media berlangsung di Manhattan.

Sedikit mengejutkan kerana tiada sebarang hebahan yang dibuat tentang kemunculan tablet tersebut selepas mendiamkan diri hampir 18 bulan dalam pasaran tablet.

Galaxy Tab S4 hadir dengan layar skrin Super AMOLED 1 berukuran 10.5 inci beresolusi 2560 x 1600 pada nisbah 16:10.

Berbeza dari keluaran terdahulu, ia bercirikan bezel nipis tanpa butang Home fizikal dan tidak mempunyai pengimbas cap jari.

Sistem nyahkunci menggunakan imbasan mata dan wajah digunapakai pada model ini selain ciri kata laluan yang biasa.

Ciri yang dipertaruhkan pada Galaxy S4 adalah mod DeX tanpa penggunaan dock. Mod Dex diperkenalkan pertama kali pada Galaxy S8 tahun lalu yang membolehkan pengguna menyambungkan paparan telefon pintar ke monitor melalui dock.

Pada model ini, mod DeX boleh diaktifkan sekiranya ia bersambung pada Book Cover, sarung pelindung yang mempunyai papan kekunci. Selain itu, ia juga boleh diakses jika bersambung dengan wayar pada monitor atau televisyen.

Tablet ini dipacu oleh cip Snapdragon 835, RAM 4GB dan pilihan storan 64 atau 256GB. Turut disertakan S Pen, memudahkan pengguna untuk membuat catatan, lakaran dan sebagainya.

Tetapan kamera adalah 13MP dibahagian belakang sementara kamera selfie menggunakan lensa 8MP. Sistem audio pula menggunakan 4 speaker dikuasakan oleh AKG.

https://www.youtube.com/watch?v=ufAuTtB5mV4&feature=youtu.be

Harga jualan tablet ini bermula dari  $650 (~RM 2643.88). Penawaran untuk pasaran Malaysia belum dapat dipastikan lagi.