Samsung akan membuka sebuah lagi kilang pengeluaran telefon pintar mereka di India hari ini. Kilang yang bertempat di Sector 81 di Noida, Uttar Pradesh itu akan muncul sebagai kilang pengeluaran telefon pintar terbesar di dunia apabila dilancarkan. Kilang itu dianggarkan dibina pada keluasan kira-kira 140,000 hektar.
Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dilaporkan akan melawat fasiliti, seterusnya merasmikan pembukaan kilang itu nanti. Ia menandakan bermulanya proses penghasilan besar-besaran Samsung di negara berkenaan.
India telah menjadi antara pasaran terbesar bagi industri telefon pintar di mana mereka dilaporkan menduduki tangga kedua selepas China dan mengatasi Amerika di tangga ke-tiga. Menurut laporan International Data Corp., sebanyak 124 juta unit peranti telah terjual di India sepanjang tahun 2017.
Bagi Samsung pula, mereka dikatakan berharap agar unit pengeluaran mereka dapat digandakan kepada 120 juta unit berbanding 67 juta unit yang dikeluarkan sekarang. Pada asalnya, kilang ini dibuka pada tahun 1997 untuk penghasilan TV namun pada tahun 2007, bahagian pengeluaran telefon pintar pula telah dibuka.
Pembukaan kilang ini juga dijangka akan membuka lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Selain Samsung, Xiaomi juga dilaporkan ingin membuka tiga kilang pengeluaran baru di negara India pada masa akan datang.