ROG Phone Munculkan Diri Di Computex 2018

Gaming phone telah menjadi satu kategori terbaru dalam dunia telefon pintar dan Asus juga tidak mahu ketinggalan dalam mengetengahkan produk telefon pintar mereka yang khusus untuk gamers sekalian. Asus yang terkenal dengan jenama ROG untuk perkakasan komputer gaming telah melancarkan peranti ROG Phone di Computex 2018.



Dipacu menggunakan cip Snapdragon 845, Asus dilihat serius mahu memberi cabaran kepada pesaing-pesaing mereka kerana SD 845 untuk ROG Phone ini sedikit berbeza dengan versi biasa. Ini kerana clock speed yang dipertingkatkan dari 2.8GHz kepada 2.96GHz.

Digabungkan bersama-sama ruang RAM sebesar 8GB LDDR4 dengan ruang storan sebesar 512GB, ROG Phone kelihatan sudah setanding peranti-peranti Gaming lain di luar sana.

Akan tetapi, skrin paparan AMOLED peranti ini mempunyai refresh rate pada tahap 90Hz berbanding 120Hz oleh Razer Phone. Namun begitu, tidak semua permainan di luar sana yang dioptimasikan untuk penggunaan skrin 120Hz dan tidak begitu ketara kesannya di dalam permainan.

Untuk bahagian kamera, Asus meletakkan sensor yang sama digunakan oleh peranti ZenFone 5 dan juga pengimbas cap jari di bahagian belakang.

ROG Phone ini juga disertakan bukan satu malah sehingga 3 port USB type-C. Ini bukanlah satu gimik tetapi ada kegunaan yang akan diberitahu sebentar lagi. Antara keistimewaan peranti ini adalah dengan kehadiran yang dipanggil sensor ultrasonik. Ia bagi memudahkan pengguna untuk bermain dan berfungsi seperti butang L1 dan R1 yang anda boleh lihat di alat kawalan DualShock Playstation.



Apalah makna gaming device tanpa RGB bukan? Asus menyertakan fungsi RGB pada bahagian logo ROG di belakang peranti. Beberapa fungsi boleh dipilih malah anda boleh menyeragamkannya bersama-sama produk Asus Aura yang lain.

ROG Phone dibina bersama-sama ruang yang dipanggil 3D vapor chamber cooling system bagi membantu meminimumkan haba yang terbina semasa bermain seterusnya tidak mengurangkan prestasi CPU semasa panas.

Aksesori tambahan untuk ROG Phone



Asus juga tidak ketinggalan memperkenalkan perkakasan yang boleh digunakan oleh ROG Phone. AeroActive Cooler menambah baik lagi sistem penyejukan peranti yang boleh disambungkan ke belakang peranti menggunakan sambungan USB-C.



TwinView Dock pula membolehkan ROG Phone dimasukkan ke dalam aksesori ini dan memberikan tambahan skrin dan juga bateri yang berasingan. Jika dilihat secara keseluruhan, konsep sebegini sudah wujud untuk peranti gaming seperti Nintendo DS. Asus berkata mereka akan bekerjasama dengan pembangun permainan untuk memberikan fungsi tambahan kepada skrin tambahan tersebut.



Mobile Desktop Dock pula membolehkan pengguna menyambung ROG Phone ke komputer mereka dan bermain di sana. Perkara ini telah dibuat oleh Samsung dengan pengenalan Samsung Deck yang membolehkan telefon pintar digunakan di komputer peribadi.

ROG Phone akan hadir bersama bateri berkapasiti 4,000mAh dan akan mula didapati di pasaran-pasaran terpilih bermula pada bulan Ogos nanti.