Xiaomi Malaysia turut memperluaskan rangkaian peranti boleh pakai mampu milik mereka menerusi pelancaran jam tangan pintar REDMI Watch 6.
Peranti ini hadir sebagai pengganti generasi terdahulu dengan membawa peningkatan ketara dari segi keluasan paparan skrin, ketahanan bahan binaan, sistem penjejakan kesihatan yang dipertingkat, serta jangka hayat bateri yang lebih panjang bagi memenuhi keperluan gaya hidup aktif pengguna tempatan.
Tumpuan utama REDMI Watch 6 terarah kepada skrin sentuh AMOLED bersaiz 2.07 inci yang menawarkan nisbah skrin-ke-kerangka sebanyak 82%.

Skrin ini mampu mencapai tahap kecerahan puncak sehingga 2,000 nits bagi memastikan kejelasan paparan kekal optimum walaupun di bawah pancaran cahaya matahari secara terus.
Selain itu, ia dilengkapi teknologi Always-On Display (AOD) berwarna yang mengekalkan paparan visual muka jam walaupun skrin sedang dimalapkan.
Kesemua perkakasan paparan ini dilindungi oleh kerangka aloi aluminium setebal 9.9mm yang direka untuk memberikan ketahanan lebih baik terhadap impak hentaman atau risiko ubah bentuk.

Dari aspek prestasi dan kuasa, jam tangan pintar ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 550mAh yang didakwa mampu menawarkan jangka hayat penggunaan sehingga 24 hari untuk sekali pengecasan penuh.
Operasi sistem peranti ini dijana oleh perisian baharu Xiaomi HyperOS 3 yang dipadankan dengan reka bentuk dwi-butang fizikal bagi memudahkan navigasi menu.
Untuk keupayaan penjejakan aktiviti sukan dan kesihatan, REDMI Watch 6 disokong oleh dwi-antena L1 untuk sistem penentuan kedudukan (GPS) yang lebih tepat pada pergelangan tangan, fungsi pengesanan kadar degupan jantung di dalam air untuk aktiviti berenang, serta modul Photoplethysmogram (PPG) yang dipertingkat bagi meningkatkan ketepatan bacaan kadar nadi harian sebanyak 3% hingga 5%.
Bagi pasaran tempatan, REDMI Watch 6 ditawarkan pada harga RM469. Walau bagaimanapun, bersempena dengan tempoh pelancaran terbaharu ini, peranti ini boleh dimiliki pada harga promosi RM369.
{suggest}
