Realme XT Rasmi Dilengkapi Snapdragon 712, VOOC Flash Charge 3.0 Dan Kamera 64MP

Setelah memperkenalkan Realme 5 dan Realme 5 Pro pada Ogos yang lalu, kini Realme XT pula mengambil giliran untuk diperkenalkan kepada umum.

Kedatangan Realme XT sudahpun diuar-uarkan sejak beberapa bulan lepas dan saat ini ia rasmi hadir dengan pelbagai kelengkapan yang mampu menarik perhatian pengguna. Keluaran terbaru ini bakal dikuasakan oleh Snapdragon 712 beserta gandingan memori RAM 4GB/6GB/8GB bersama storan dalaman berasaskan UFS 2.1 berkapasiti 64GB/128GB. Ruang simpanan juga boleh ditambah lagi menerusi sokongan kad MikroSD.



Bertugas di panel hadapan adalah skrin paparan Super AMOLED  berukuran 6.4 inci dengan resolusi 2340 x 1080p dan disebaliknya terdapat sensor imbasan cap jari. Beralih ke bahagian belakang, empat lensa disusun menegak pada sudut atas kiri, terdiri dari lensa utama 64MP (Samsung GWI)  yang menggunakan kaedah 4-in-1 pixel binning  untuk menghasilkan imej 16MP dengan setiap satu pixel bersaiz 1.6μm. Baki tiga lagi lensa merupakan kamera ultra lebar 119 darjah, 2MP untuk bantuan bokeh serta 2MP kamera makro. Lensa 16MP pula bertanggungjawab merakam bahagian hadapan Realme XT.



Turut melengkapkan peranti adalah sistem penyejukan dengan lapisan gel terma, aluminium yang mampu mengalirkan terma tinggi serta kepingan grafit. Melaluinya, suhu peranti boleh diturunkan 14% ketika sedang dalam permainan mudah alih.

Dari segi janaan kuasa, Realme diberikan keupayaan mengecas 20W (VOOC 3.0 Flash Charge) yang akan disalurkan kepada bateri berkapasiti 4000mAh dan dikatakan ia mampu dicas penuh hanya dalam tempoh 80minit.

Bakal menjalankan sistem operasi ColorOS 6 berasaskan Android Pie 9, Realme menyatakan naik taraf kepada sistem Android 10 bermula suku pertama tahun hadapan.



Peranti ini akan dijual bermula 16 September depan di India dengan harga INR15,999 (~RM937), INR16,999 (~RM996) dan INR18,999 (~RM1113).