realme X50 Pro - Peranti Paling Mahal Yang Pernah realme Tawarkan

Satu persatu telefon pintar dibawa masuk yang mana setiap penawaran bersaing pada kelas berbeza. Cukup hangat menjadi bualan ramai sejak beberapa tahun yang sudah dan mula menjadi pilihan mereka-mereka yang dambakan spesifikasi tertinggi pada harga lebih mampu milik.

Tidak perlu bermadah lebih panjang lagi, anda sudah tahu itu realme. Dengan lambakan telefon pintar sedia ada dalam pasaran tempatan, pengeluar ini datang lagi meletakkan sebuah model berstatus flagship.

Dikenali sebagai realme X50 Pro, ia merupakan telefon pintar paling mahal yang diperkenalkan oleh realme setakat ini. Berminat untuk tahu reaksi awal kami menggunakannya? mari ikuti kupasan kami.
Buka kotak



  • 1x realme X50 Pro

  • 1x Sarung pelindung

  • 1x pengecasan Super Dart Charge 65W

  • 1x kabel pengecasan USB-C

  • 1x SIM ejector.


Rekaan

Jika anda sudah biasa melihat peranti-peranti realme sebelum ini, pastinya tiada apa yang menarik tentang rekaan luar realme X50 Pro 5G. Sekali imbas dari belakang, anda mungkin menyangka ia adalah realme XT atau realme 6 Pro atau realme X3 Superzoom. Cuma berbeza warna sahaja. Jika mahu lihat perbezaan, pujian boleh diberikan pada realme C11 yang tampak sedikit segar berbanding model-model terdahulu.



Ya, boleh dikatakan hampir kebanyakan telefon pintar realme hadir dengan peletakan modul kamera yang disusun memanjang kebawah pada sisi atas kiri. Sebelah hadapan pula memperlihatkan rekaan berlubang pada penjuru kiri seakan bentuk pil menempatkan dua sensor kamera.



Depan dan belakang peranti ini dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5 dengan dua pilihan warna yang agak menarik iaitu Moss Green dan Rust Red.

Sisi kiri dan kanan sedikit melengkung kearah paparan dan ia memberikan keselesaan ketika memegang kerana peranti ini terasa solid dengan berat sekitar 202g.  Ia agak licin dan untuk elakkan dari terlepas jatuh, jadi eloklah ia disarungkan dengan pelindung yang disertakan di dalam kotak.



Sama seperti keluaran yang sebelumnya, butang kuasa diletakkan pada sisi kanan dan sisi bertentangan pula menempatkan butang pelaras kuasa. Kawasan bawah pula menyediakan port USB-C, mikrofon, pembesar suara dan slot dwi kad SIM nano.



Tiada slot untuk kad mikroSD, tiada bicu audio 3.55mm untuk fon telinga berwayar.
Spesifikasi

Bahagian hadapan peranti dipasang dengan skrin paparan 6.44 inci dari jenis Super AMOLED. Datang dengan resolusi FHD+, ia turut menyokong kadar segar semula 90Hz yang kini boleh dianggap sebagai ciri mesti ada pada sesebuah telefon pintar flagship.



Rakaman selfie pengguna pula ditugaskan kepada dwi kamera dengan sensor 32MP f/2.5 dan 8MP ultra lebar f/2.2. Bagi rakaman belakang, kombinasi terdiri daripada 64MP f/1.8, 12MP telefoto f/2.5, 8MP ultra lebar/makro f/2.3 dan 2MP potret f/2.4.



Menguasakan dari dalam adalah cip pemprosesan Snapdragon 865 dan sekaligus memberikan sokongan 5G kepada model ini. Konfigurasi memori pula hanya menyediakan RAM LPDDR5 12GB dan storan 256GB yang berasaskan UFS 3.0. Nampaknya realme Malaysia mahu spesifikasi tertinggi sahaja untuk pasaran tempatan. Ini kerana sewaktu pelancaran di Eropah pada Februari yang lalu, terdapat pilihan RAM 8GB dan storan 128GB.

Peranti ini dibekalkan dengan kapasiti bateri 4200mAh sama, seperti realme X3 SuperZoom. Cuma berbeza pada sokongan pengecasan pantas lebih laju iaitu 65W SuperDart Charge berbanding 30W Dart Charge pada X3 SuperZoom.



Seperti yang anda tahu, realme UI merupakan sistem antaramuka yang dijalankan pada peranti realme. Ia pertama kali dipertontonkan sewaktu acara pengenalan realme X50 dan sudah sedia menghiasi setiap penawaran terbaharu selepas itu. Ia merupakan gubah suai dari ColorOS 7 yang dibangunkan berasaskan Android 10.
Kesimpulan

Sebagai telefon pintar paling mahal yang pernah dikeluarkan realme, pastinya ia sarat dimuatkan dengan spesifikasi tertinggi. Rasanya tidak perlu dipersoalkan lagi tentang prestasi kerana rata-rata sudah tahu keupayaan Snapdragon 865. Ditambah pula dengan paparan Super AMOLED, pembesar suara stereo, ia sememangnya enak dilihat dan digunakan.

Namun rekaan luar yang hampir sama dengan setiap model sebelumnya mungkin mengurangkan keterujaan sesetengah daripada kita. Sekurang-kurangnya perlu ada sedikit sentuhan premium untuk peranti dengan harga se-premium ini.

Jadi untuk ulasan lebih lanjut seperti prestasi, pengecasan dan lain-lain lagi, bakal kami terbitkan dalam bentuk video tidak lama lagi. Adakah anda pemilik realme X50 Pro? adakah anda bakal memiliki realme X50 Pro? Kongsikan pendapat diruangan komen.