Asus dengan komputer riba dwi skrin bukanlah cerita yang mengejutkan kita semua. Sejak 2018 lagi mereka dah mula berjinak-jinak membawakan paparan kedua melalui model ZenBook Pro 15.
Tetapi pada ketika itu, paparan kedua diletakkan pada bahagian pad sesentuh dan dikenali sebagai ScreenPad. Ia menyokong sebahagian besar aplikasi pihak ketiga seperti YouTube, Spotify, Microsoft Office dan beberapa fungsi asas lain.
Tahun berikutnya pula dikemaskini dengan model “Duo”. Paparan kedua atau dipanggil sebagai ScreenPad Plus, lebih besar dan berada disebelah atas papan kekunci. Ciri ini sekali lagi hadir pada ASUS ZenBook Duo (UX482) kali ini.
Terang lagi bersuluh rekaan sebegini tidak ditujukan kepada kalian diluar sana. Habis kepada siapa?
Jawapannya adalah kepada seorang pengkarya kreatif serta individu yang perlu menjalankan banyak tugasan pada satu-satu masa. Adakah ASUS ZenBook Duo (UX482) ini untuk anda?
Sebelum kita menelusuri lebih lanjut tentang komputer riba ini, adalah lebih afdal untuk kita lihat dahulu organ dalaman yang dimuatkan padanya.
Spesifikasi
- Intel Core i7-1165G7 2.8 GHz (12M Cache, sehingga 4.7 GHz, 4 teras)
Intel Core i5-1135G7 2.4 GHz (8M Cache, sehingga 4.2 GHz, 4 teras) - Skrin utama – 14” (16:9) LED-backlit FHD (1920 x 1080) 60 Hz
skrin sesentuh - ScreenPad ™ Plus: 12.6” FHD paparan sesentuh
178˚ - NVIDIA ® GeForce ® MX450, with 2 GB GDDR6 VRAM
- 16 GB LPDDR4x 4266 MHz
8 GB LPDDR4x 4266 MHz - 512 GB M.2 NVMe ™ PCIe ® 3.0
- Intel ® Wi-Fi 6 (802.11ax)
Bluetooth ® 5.0 - Bateri 70 Wh
- 1.57kg
Rekaan
Sekali imbas, sekilas pandang, macam sama saja dengan keluaran sebelum ini, betul? Tetapi kalau diteliti dengan lebih mendalam lagi, ASUS bagi sedikit perubahan kepada sudut pandang paparan kedua.
Jika sebelum ini ia hanya rata, kini ia akan mencondong seiring dengan pembukaan paparan utama. Maksudnya lagi belakang anda tolak skrin utama, lagi tinggi ia naik. Tidaklah terlalu tinggi, sekitar 7 darjah dan dikira mencukupi untuk sudut pandang mata kita.
Ini merupakan salah satu perubahan terbesar yang diberikan pada rekaan engsel komputer riba ini. Boleh bagi pujian untuk pendekatan kali ini. Sebab nak dibandingkan dengan dahulu, pengguna perlu “menjenguk” sedikit ke hadapan untuk melihat paparan kedua itu kerana ia dalam keadaan rata.
Skrin kedua yang terangkat itu dilihat boleh memberikan lebih ruang pengudaraan tetapi dalam masa mungkin boleh timbul masalah lain. Contohnya, ruang antara skrin dan badan komputer riba menjadi tempat berhimpunnya habuk. Mungkin juga menjadi tanah perkuburan untuk serangga-serangga kecil yang menyusup masuk. Ya mungkin.
Pad sesentuh juga masih diletakkan pada bahagian sama iaitu sebelah kanan. Bagi pengguna kali pertama, kedudukan ini sememangnya janggal dan aneh. Anda pasti tercari-cari dimanakah pad yang selalunya berada dibahagian tengah.
Seperkara lagi ketika menggunakan atau melukis diatas ScreenPad Plus, tangan kanan cenderung untuk terkena pada bahagian pad sesentuh. Ia menjengkelkan dimana anda perlu menyahaktifkan fungsi bahagian tersebut. Tidak jadi masalah kalau anda pengguna tetikus.
Tambahan lagi susun atur papan kekunci ini agak padat dan tidak mempunyai palm rest. Kerja-kerja menaip dalam tempoh panjang mungkin sedikit memenatkan. Ia mengunjur hingga ke hujung yang membuatkan penggunaan diatas riba tidak selesa. Inilah perkara yang dikorbankan untuk memberi ruang kepada paparan kedua. Dekat sini dah beri gambaran dimana ia tidak sesuai untuk anda yang kerap melakukan penulisan yang panjang.
Anda mungkin mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan susun atur sedemikian. Papan kekunci tidak mempunyai numpad tetapi jika anda mahukannya, boleh aktifkan pada ScreenPad Plus. Bukan terhad kepada numpad sahaja, banyak lagi yang boleh anda longgokan di atas skrin kedua ini.
Ada tetapan bagi susun atur tetingkap dengan jumlah maksimum tetingkap yang boleh diletakkan adalah tiga. Ambil senario anda sedang menyunting gambar pada paparan utama, senarai main Spotify, Facebook, WhatsApp pula berada pada paparan kedua. Syok kan?
ASUS turut menyertakan stylus yang mana boleh digunakan samada untuk membuat tandatangan, melukis mahupun mencatat sesuatu terus pada kedua-dua paparan tersebut.
Bagi mengakses lebih banyak tetapan untuk skrin kedua ini, anda boleh pergi ke aplikasi Control Panel. Ia turut menyediakan pelbagai ciri dan fungsi bagi pengguna Adobe Creative Cloud.
Contohnya anda menggunakan Premier Pro, garis masa boleh diletakkan pada ScreenPad Plus sementar bahagian lain kekal di paparan utama. Begitu juga ketika menggunakan Photoshop, dek alatan boleh dialihkan kepada skrin kedua tersebut. Ruang bekerja anda terasa lebih luas dan tersusun.
Setakat ini, anda pasti sudah merasakan ia sangat bertepatan dengan gaya kerja kreatif anda. Namun ada sedikit kelemahan yang perlu dipertimbangkan. Kualiti paparannya bagus dan mudah kata ia melebihi apa yang ditawarkan kebanyakan Ultrabook diluar sana. Kecerahan dan kontras yang baik.
Namun begitu, dari segi ketepatan warna dilihat tidak menyamai apa yang mampu dilakukan seperti Macbook Pro yang sedia kami gunakan. Selain itu, ketiadaan pilihan paparan dengan resolusi 4K mungkin menjadi salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan pengkarya kreatif profesional.
Sepanjang ujian, kami menyunting dua buah video (1080p) berdurasi 5-7 minit. Kami simpulkan ia tugasan yang mencabar dan perlu memiliki kesabaran yang tinggi. Dengan apa yang ditawarkan pada komputer riba ini, ia lebih terarah kepada kerja-kerja suntingan entry level.
Anda mungkin menyangka dengan kehadiran ScreenPad Plus ini akan memberi kesan terhadap tempoh bateri bernyawa. Ya ia akan menelan kuasa bateri, tetapi apa yang kami dapat adalah sekitar 9-10 jam untuk pengguna bersama skrin kedua. Ia satu tempoh yang cukup baik.
Sekiranya anda menyahaktifkan ScreenPad Plus tersebut, tempoh lebih lama anda boleh diperolehi, iaitu sekitar 15 hingga 16 jam.
Jadi disini, siapa yang dirasakan sesuai untuk memilih ASUS ZenBook Duo (UX482)?
Anda yang memerlukan lebih dari satu skrin paparan untuk bekerja, mahukan prestasi dengan kuasa bateri yang panjang serta tugasan melibatkan suntingan gambar mahupun video yang tidak berat.
Tak usah beli, sekiranya anda mahukan susun atur papan kekunci yang lebih normal atau kerja anda banyak melibatkan penulisan yang panjang, atau kerja-kerja kreatif yang lebih berat.
ASUS ZenBook Duo ditawarkan dengan dua nilai jualan iaitu RM5499 dan RM6499. Ia berbeza mengikut cip pemprosesan yang dibenamkan didalam komputer riba tersebut.