realme GT Dengan Janaan Cip Snapdragon 888 Akan Dilancarkan 4 Mac 2021

Qualcomm telah pun mengumumkan cip pemproses Snapdragon 888 pada awal Disember tahun lalu. Sejak itu, pelbagai pengeluar mula mengumumkan peranti pertama mereka, dengan janaan cip andalan terkini dari Qualcomm itu akan dilancarkan tidak lama lagi.

Antaranya termasuk realme di mana sejurus sehari selepas pengumuman dari Qualcomm, syarikat itu mengesahkan realme dengan nama kod "Race" akan menjadi yang terawal dilancarkan dengan janaan cip Snapdragon 888.

Kini, setelah lebih dua bulan pengumuman itu dibuat, penantian berakhir apabila realme secara rasmi mengesahkan realme GT akan dilancarkan pada 4 Mac 2021.

pelancaran realme GT

Dalam pada itu, Naib Presiden realme iaitu Xu Qi Chase turut mengesahkan peranti ini akan hadir dengan janaan cip Snapdragon 888. Beliau juga menyatakan realme GT adalah peranti dengan nama kod "Race" yang diumumkan sebelum ini.

Buat masa ini, belum lagi diketahui mengenai spesifikasi lain yang akan dimuatkan pada peranti ini.

Bagaimanapun, dapat dijangkakan peranti ini akan dilengkapi skrin AMOLED yang menyokong kadar segar semula lebih tinggi, menjalankan realme UI 2.0 berasaskan Android 11 dan sebagainya.

Untuk maklumat lanjut mengenai realme GT, nantikan pelancaran yang akan berlangsung pada jam 2.00 petang, 4 Mac 2021.

Sumber: Weibo