Menerusi acara Snapdragon Tech Summit yang baru sahaja berlangsung, Qualcomm kini secara rasmi telah mengumumkan cip pemproses Snapdragon 888.
Snapdragon 888 akan dimuatkan dengan modem generasi ketiga Qualcomm Snapdragon X60 5G, yang diumumkan pada Februari tahun ini. Cip yang berasaskan binaan proses 5nm ini mempunyai kemampuan untuk memberikan kecekapan tenaga lebih baik serta memperluaskan keserasian sokongan 5G menerusi spektrum mmWave dan sub-6GHz.
Sebagai penambahbaikan kepada teknologi 5G, cip ini turut dilengkapi generasi keenam AI Engine, yang menjanjikan prestasi dan kecekapan tenaga bagi tugasan AI. Snapdragon 888 juga didatangkan dengan ciri yang dikatakan “most significant upgrade in Qualcomm Adreno GPU performance”.
Namun, perincian mengenainya belum lagi diumumkan. Akhir sekali, Qualcomm turut menyatakan cip terbaru ini mempunyai keupayaan untuk merakam 120 gambar per saat pada resolusi 12MP melalui kemas kini ISP, dengan 35% lebih pantas berbanding generasi sebelumnya.
Cip ini akan menguasakan peranti andalan Android pada tahun 2021. Xiaomi Mi 11 turut diumumkan sebagai peranti pertama yang akan dilancarkan dengan cip Snapdragon 888.
Antara peranti andalan lain yang akan menggunakan cip ini termasuk dari pengeluar seperti ASUS, Black Shark, Lenovo, LG, MEIZU, Motorola, Nubia, realme, OnePlus, OPPO, Sharp, vivo dan ZTE.
Dalam pada itu, lebih banyak perincian mengenai spesifikasi dan peningkatan yang ditawarkan pada cip pemproses ini dijangka akan diumumkan pada hari kedua acara Snapdragon Tech Summit.
Sumber: Qualcomm