realme 7i Dilancarkan - Adik Kecil Siri realme 7 Dengan Cip Snapdragon 662 Dan Paparan 90Hz

realme sebelum ini sudah hadir dengan realme 7 dan realme 7 Pro. Seperti kebiasaan mereka akan melancarkan model realme 7i yang bertindak selaku model paling mampu milik untuk siri realme 7 ini.

Walaupun model paling asas, ia masih menawarkan spesifikasi menarik seperti penggunaan kadar segar semula tinggi, RAM yang besar dan juga bateri berkapasiti besar.

Bermula dengan skrin, ia hadir dengan skrin 6.5 inci LCD beresolusi HD 720p yang juga menggunakan panel 90Hz. Pada panel ini juga terdapat juga kamera punch-hole yang memuatkan sensor swafoto 16MP.



Pada bahagian belakang, terdapat 4 kamera dengan 64MP utama serta tambahan 8MP sudut lebar, 2MP B&W, dan 2MP makro. Terdapat juga pengimbas cap jari yang di belakangnya.

realme 7i dijana oleh cip pemprosesan Snapdragon 662. Bersama-sama dengannya adalah RAM sebesar 8GB dan juga storan dalaman 128GB.

Dari aspek RAM, ia merupakan naik taraf agak besar memandangkan realme 6i sebelum ini hanya hadir dengan RAM 3GB dan 4GB sahaja.

Selain itu, ia turut menyokong 3 slot dwi-SIM dan kad microSD.

Pada realme 7i, terdapat bateri berkapasiti 5,000mAh yang juga turut menyokong pengecasan pantas 18W. Telefon ini menggunakan sambungan USB-C untuk mengecas atau memindahkan data.



Menurut realme, ia mampu bertahan sehingga 34 hari dalam mod sedia manakala mengecas sehingga 30 minit sudah memenuhkan sebanyak 32%.

Di Indonesia, realme 7i dijual pada harga Rp 3,199,000 (~RM887.13) dalam pilihan warna Aurora Green dan Polar Blue. Buat masa ini masih belum diketahui harga jualannya untuk pasaran Malaysia.

Sumber: realme Indonesia