realme 6 Pro Sudah Rasmi Di Malaysia, Dijual Pada Harga RM1399

Penantian peminat telefon pintar realme kini nampaknya sudah berakhir dimana realme 6 Pro diumumkan rasmi sebentar tadi.

Diperkenalkan secara dalam talian pada Facebook realme Malaysia, peranti terbaru ini bakal dijual bermula 12 tengah malam ini (12 Mei 2020) di Lazada dengan nilai jualan RM1399.



Jualan dari kedai fizikal pula akan diadakan pada 16 Mei 2020 depan yang turut menawarkan ganjaran tambahan seperti 7 unit sarung pelindung percuma bernilai RM149 serta setahun lanjutan waranti.



Imbas kembali kepada spesifikasi, ia membawakan penawaran lebih tinggi berbanding realme 6 sedia ada. Versi Pro kali ini dilengkapi dengan cip pemproses Snapdragon 720G yang digandingkan dengan pasangan RAM 8GB serta storan 128GB.



Ke sudut rakaman kamera belakang, ia menampilkan sistem kuad kamera terdiri daripada lensa 64MP f1.8, 8MP f2.3 ultra lebar, 12MP telefoto f2.5 dan 2MP makro f2.4.



Rakaman bahagian hadapan pula digalas oleh dwi kamera 16MP f2.1 dan 8MP f2.2. Panel paparan adalah dari jenis IPS LCD dengan ukuran 6.6 inci, sokongan resolusi FHD+ serta kadar penyegaran 90Hz.

Penawaran realme 6 Pro dikuatkan lagi dengan sokongan audio Dolby Atmos yang mampu memberikan pengalaman mendengar lebih baik lagi. Fungsi imbasan cap jari terletak pada butang kuasa disisi kanan.

https://www.youtube.com/watch?v=3tCxKav18tk&t=94s

Bagi janaan kuasa, ia dimuatkan dengan bateri berkapasiti 4300mAh bersama-sama pengecasan pantas Flash Charge 30W.