Reaksi Awal vivo V23 5G - Telefon 'Mid-Range' Tapi Rasa Premium

Siri V daripada vivo kini sudah mempunyai penawaran baharu menerusi V23 5G. Ia merupakan pengganti bagi V21 yang dilancarkan Mei 2021.

Seperti diketahui, siri V memang fokus utamanya adalah kamera swafoto. Disebabkan itulah, kali ini ia hadir dengan dwi-kamera swafoto yang mana 50MP utama dan 8MP ultra-lebar.

Bagaimanapun, V23 5G dijual pada tanda harga tinggi sedikit berbanding abangnya terdahulu walaupun peranti ini hanyalah berkelas pertengahan. Secara tidak langsung, V23 5G ini boleh diletakkan sebagai telefon kelas pertengahan premium.

Spesifikasi



  • Skrin - 6.44 inci (1080x2400) AMOLED, 90Hz

  • Pemproses - MediaTek Dimensity 920

  • Memori - 12GB RAM + 4GB RAM Maya

  • Storan - 256GB

  • Bateri - 4200mAh, pengecasan 44W

  • Kamera Belakang - 64MP utama, 8MP ultra-lebar, 2MP makro

  • Kamera Swafoto - 50MP utama, 8MP ultra lebar


Kotak Sama, Barang Di Dalam Pun Sama




Sebelum kita melihat peranti ini, terlebih dahulu kita lihat apa yang ada di dalam kotak V23 5G. Tidak ada apa-apa yang baharu dari segi bungkusannya, ia masih mengekalkan warna biru dan terpaparnya V23 dengan besar di hadapannya.



Sebaik sahaja kotak dibuka, terletaknya telefon V23 5G dan hadir bersama-sama pelindung peranti (casing), pengecas 44W, kabel USB-C, SIM Card ejector dan fon telinga (earphone). Jadi, itu sahaja yang anda akan dapat sekiranya membeli vivo V23 5G.

Rupa Baharu Tapi Macam Pernah Nampak


Tumpuan utama bagi V23 5G ini adalah rupanya. Pertama sekali, vivo mengatakan panel belakang telefon ini boleh bertukar warna. Model yang berada di tangan saya adalah berwarna Sunshine Gold.

Memang betul warnanya boleh berubah. Akan tetapi ia perlu dilihat dalam sudut pandang tertentu. Apabila berbuat demikian, warna emas tadi akan bertukar ala-ala warna hijau atau Turquoise.



Pada pendapat saya, ini bukanlah kali pertama telefon yang mempunyai 'kemampuan' sebegitu. Sebelum ini, semasa saya menggunakan peranti OPPO A95, warnanya juga berubah apabila dilihat daripada sudut tertentu.

Bezanya di sini, V23 5G lebih mudah nampak perubahan warna itu. Dari warna emas ke arah wana kehijau-hijauan. Jauh lebih jelas.

vivo V23 5G juga menggunakan rekaan sisi yang rata. Mirip peranti-peranti Android terbaru masa kini yang sudah mula menggunapakai 'boxy design'. Kerangka telefon ini turut diperbuat daripada aluminium. Cumanya, panel belakangnya adalah plastik tetapi tidak mengapa kerana ia akan membuat peranti ini lebih ringan. Tak adalah rasa lenguh apabila menggunakannya.





Masih lagi di panel belakang, terdapat modul kamera agak besar yang menempatkan tiga lensa. Mungkin vivo mahu membuat kelainan tetapi saya lebih gemar modul kamera yang ada pada V21 terdahulu.



Seperkara yang saya minat terhadap V23 5G, ia amat selesa dipegang. Mungkin atas faktor rekaan 'boxy' itu. Malah, bagi saya telefon ini terasa premium. Ditambah lagi dengan kemasan emas ini, menambah lagi perisa dan 'feel' peranti andalan.



Selain modul kamera belakang yang baharu, bahagian depan V23 5G menampilkan paparan bertakuk. Lagilah membuatkan pengguna terasa seolah-olah sedang memakai iPhone. Apa-apa pun, saya faham yang vivo berbuat demikian kerana takuk bukan sebarang takuk. Ia hadir dengan dwi-kamera swafoto. Tak cukup dengan dua lensa, ditambah lagi dengan dua cahaya LED yang akan membuatkan gambar swafoto lebih 'flawless'.

Reaksi Awal Tentang vivo V23 5G


Sepanjang pengalaman saya bersama peranti ini walaupun hanya sekejap, ada beberapa perkara yang saya suka dan tidak. Perkara yang saya minat adalah paparannya yang cantik dan digandingkan dengan kadar segar semula tinggi.



V23 5G tampil dengan paparan AMOLED. Jadi, seperti yang dijangkakan, warna yang dipaparkan ketika menikmati kandungan YouTube memang sudah cukup puas. Pengalaman menatal pun terasa lancar sahaja walaupun kadangkala ada juga saya terasa lag atau stuttering.

Memandangkan telefon ini dikuasakan MediaTek Dimensity 920, ia sebenarnya sudah memberikan sedikit kelebihan. Buat makluman, cip ini dibina berasaskan pemproses 6nm. Oleh itu, prestasi yang ditawarkan adalah jauh lebih baik dan paling penting, lebih cekap atau efisien.



Setakat ini, saya hanya mengecas sekali sahaja. Namun, ini baru sahaja 'geli-geli'. Maknanya, saya belum 'melenjan' sepenuhnya lagi. Tetapi prestasi baterinya boleh cukup tahan. Nak guna satu hari secara berterusan pun tak ada masalah. Tidak mengapa, masih terlalu awal juga untuk saya membuat kesimpulan tentang prestasi baterinya.

Dari segi fungsi pengimbas cap jari atau imbasan wajah, saya lebih cenderung untuk memakai imbasan cap jari. Ini kerana apabila saya mula 'set up' imbasan wajah, saya berasakan terlalu mudah ia selesai. Ia ibarat hanya menangkap gambar anda seketika dan kemudian selesai. Tapi untuk imbasan cap jari, tak ada masalah. Masih laju digunakan.



Satu lagi yang tidak saya gemar adalah pembesar suaranya. Bukanlah tidak sedap tapi ia menggunakan sistem mono. Kenapa vivo? Saya berpendapat, tahun 2022 sepatutnya pembesar suara stereo sudah menjadi satu standard. Lebih-lebih lagi peranti yang mempunyai tanda harga RM2099. Lain sudah kemas tetapi pembesar suara pula ibarat peranti berkelas permulaan.

Sebelum terlupa, saya juga kurang berminat dengan "bloatware" yang ada pada peranti ini. Terlalu banyak aplikasi yang sudah dipasang tanpa persetujuan saya. Bagi anda yang sudah biasa, mungkin tidak mengapa tetapi tidak bagi saya.

Walau apa pun, secara keseluruhan, saya berasakan telefon ini memang cukup sesuai bagi kaki swafoto atau pencipta kandungan yang sering buat 'live' di Instagram atau TikTok. Ini kerana dengan adanya 'spotlight' terbina, anda tidak lagi susah-susah nak beli ring light dari Shopee.



Untuk saya, sejujurnya saya bukanlah penggemar swafoto. Bagi anda? Mungkin. Buat masa sekarang, setakat ini sahaja coretan dan reaksi awal saya mengenai vivo V23 5G. Jangan risau, dalam masa terdekat saya akan ulas lebih lanjut berkaitan kameranya, prestasi bateri dan juga sedikit gaming. Jadi, nantikan.

Baca juga: