Reaksi Awal HONOR Magic V - Langkah Pertama HONOR Dalam Arena Lipat-Melipat

HONOR kini telah berjaya menyertai skuad telefon boleh lipat sedunia, dengan telefon pertamanya iaitu HONOR Magic V. Semalam saya diberi peluang untuk memegang telefon ini, namun saya tidak dapat memberi ulasan penuh kerana kekangan masa yang diluangkan bersama telefon itu. Jangan risau tuan-tuan dan puan-puan, saya akan tetap kongsikan reaksi awal tentang telefon premium ini, mari.

Feel In Hand Okay Tak Bang?


Apabila telefon ini mendarat sahaja di tangan, satu sahaja yang saya boleh ungkapkan, cukup rasa. Memang terasa penuh di tangan, dan berat yang ideal membuatkan ia terasa kukuh. HONOR berjaya memberikan kualiti binaan yang sesuai dengan status telefon andalan. Apabila saya membuka lipatan telefon ini, ia memberikan vibe mini tablet yang mengasyikkan. Dengan bukaan skrin lipat ini, berat telefon ini menjadi lebih seimbang dan tiada masalah untuk digunakan secara satu tangan mahupun dua tangan.



Selain itu, ia hadir dengan 3 pilihan warna iaitu Space Silver, Burnt Orange dan Black. Istimewanya warna Burnt Orange ini adalah ia dikemaskan dengan tekstur seakan kulit, ia menyerlahkan lagi ciri premium untuk telefon ini.

Skrin Dia Macam Mana Bang?




Saya kongsikan kepada anda berkenaan skrin luaran dahulu. Ia bersaiz 6.45 inci, resolusi 2560 x 1080, kadar segar semula 120Hz, nisbah 21:9, dan menggunakan panel OLED. Skrin luaran ini juga bersifat lengkung di sisi kanan untuk menampakkan rupa yang lebih mewah. Seterusnya, pada skrin dalaman apabila lipatan terbuka, ia bersaiz 7.9 inci, resolusi 2272 x 1984, kadar segar semula 90Hz, nisbah 10:9. Skrin dalaman ini juga menyokong kandungan HDR10+ dan boleh mencapai tahap kecerahan setinggi 800 nits.

Masalah paling besar untuk skrin lipat adalah garis lengkung dibahagian lipatan. Lengkungan pada HONOR Magic V akan kelihatan apabila dicari. Bermaksud, kalau anda tidak fikirkan lengkungan tersebut, ia tak kelihatan. Anda seperti melihat pada skrin yang rata. Untuk bahagian ini, saya rasakan OPPO Find N lebih berjaya mengurangkan garis lengkung tersebut berbanding model-model dari Samsung, Huawei dan HONOR.



Dari segi sentuhan, saya tak boleh nak huraikan lebih lanjut kerana agak singkat menggunakannya. Tapi saya pasti, untuk penggunaan tempoh panjang, pengguna akan terbiasa dengan lengkungan di tengah sewaktu menatal skrin.

Spesifikasi Pula Bang?


Kapsyen: Multitasking sehingga 4 aplikasi


Di dalam rupa paras HONOR Magic V yang menawan ini, ia dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 (4nm), juga menyokong sambungan 5G. Selain itu, terdapat 2 pilihan varian iaitu 12GB RAM dan juga pilihan storan 256GB dan 512GB. Seterusnya, kapasiti bateri 4750mAh dan pengecasan pantas 66W.

Bang Saya Nak Tahu Kamera Dia Bang!


Sabar dik, satu-satu ya. HONOR tiada kompromi tentang binaan kameranya. Ia menggunakan tetapan 3 kamera, yang disaluti dengan Kaca Pelindung Kamera Hiperbola 3D. Kaca pelindung yang sukar dihasilkan dan menawarkan ketahanan yang lebih tinggi. Untuk tetapan kameranya:



  • 50MP Kamera Lebar Utama

  • 50MP Kamera Sudut Ultra-Lebar

  • 50MP Kamera Peningkatan Spektrum


Sempat saya bertanya kepada staf HONOR, apakah kamera peningkatan spektrum itu? Mereka menerangkan bahawa kamera itu membantu dalam menghasilkan warna yang lebih cantik di dalam kualiti imej. Seterusnya, 42MP kamera swafoto.



Saya terpegun dengan kualiti imej selfie di mana ia kelihatan sangat detailed dan masih mengekalkan warna yang natural. Apa yang anda lihat di dalam kehidupan sebenar, seakan itulah gambar selfie yang dihasilkan.

Bila Masuk Malaysia Bang?


Buat masa sekarang, HONOR Magic V baru dilancarkan di China pada 10 Januari lalu, namun tiada lagi maklumat tentang pelancaran global didedahkan.

Harga telefon ini di China adalah CNY¥9,999 (~RM6600) bagi model 256gb, dan CNY¥10,999 (RM~7200)bagi model 512gb. Jadi kepada para peminat HONOR mahupun telefon skrin lipat, mari kita nantikan HONOR Magic V.

Baca juga:

 

Berkaitan