Reaksi Awal Huawei P50 Pro - Rupa Beza, DNA Sama

Siri P dalam keluarga Huawei adalah telefon kelas andalan memfokuskan kategori fotografi premium. Siri ini sering mendapat perhatian sejak dari pengenalan Huawei P9 pada tahun 2016 sehinggalah sekarang.

Tahun 2021 atau tahun 2022 ini, siri ini sudah berevolusi kepada Huawei P50. Sebelum ini ia sudah pun dilancarkan di China pada bulan Julai 2021 dan agak lama sebenarnya telefon ni barulah menemui peminat di luar negara itu.

Rekaan


Sejak dari dulu lagi, Huawei sememangnya cemerlang dalam menghasilkan rupa paras sebuah telefon premium. Untuk Huawei P50 Pro ini, ia agak berbelah bahagi sedikit.

Mata yang memandang memang tak lari dari melihat modul kamera yang berbentuk bulat besar terbonjol keluar. Sistem kamera pada Huawei P50 Pro sebenarnya lebih hebat dari generasi P40 sebelum ini, tetapi cara Huawei 'membungkus' sistem kamera ini sangat menimbulkan tanda tanya.



Ia dilihat seperti tiada inspirasi dengan modul kamera hitam tanpa disertakan elemen aestatik lain. Seakan membiarkan ia hidup segan mati tidak mahu sahaja di belakang telefon itu.

Modul kamera ini sangatlah kelihatan seperti tidak siap, meminta untuk menambah sesuatu melengkapkan keseluruhan rupanya.

Habis tentang modul kamera, saya agak kurang berminat dengan kemasan glossy seakan cermin pada bahagian panel kaca belakangnya. Ini sebenarnya jauh berbeza dari rupa P40 Pro sebelum ini yang menawarkan kemasan matte.



Huawei P50 Pro juga dirasakan agak ringan sebenarnya. Dibandingkan dengan P40 Pro sebelum ini, P50 Pro lebih ringan. Hilangnya jisim pada P50 Pro sedikit sebanyak mewujudkan persepsi ia sebuah telefon 'kurang premium' padahal sebenarnya tak pun.

Keseluruhan, tiada masalah dari segi binaan, baik aluminium atau kaca, cuma kemasan yang digunakan kurang digemari.

Spesifikasi


Dimulakan dengan cip pemprosesan, jika sebelum-sebelum ini Huawei hanya menggunakan cip HiSilicon Kirin sahaja, ia tidak terjadi pada Huawei P50 Pro kerana kali ini ia ada 2 versi, satu Kirin 9000 dan satu lagi Snapdragon 888.

Untuk pasaran Malaysia, yang masuk adalah versi Snapdragon 888. Mungkin peminat Snapdragon 888 boleh bersorak gembira tetapi versi Snapdragon 888 ini sebenarnya adalah versi cip tanpa 5G, hanya 4G sahaja.

RAM telefon ini adalah 8GB yang juga dipadankan dengan storan dalaman 256GB.

Satu perkara yang saya perasan pada Huawei P50 Pro adalah kelengkapan skrin yang lebih baik namun pada masa yang sama nampak juga yang Huawei sudah move on dari penggunaan dwi kamera untuk swafoto.



Kita mula dengan skrin dahulu. Huawei P50 Pro kali ini menggunakan skrin OLED 6.6 inci (1228 x 2700 pixel) dengan kadar segar semula 120Hz. Ini satu peningkatan dari 90Hz pada Huawei P40 Pro sebelum ini. Dah lama betul mengidamkan 120Hz pada skrin telefon Huawei, barulah dapat sekarang. Syukur.

Skrinnya bagi kami dirasakan sangat cantik, sesuai untuk memanggilnya dengan panggilan telefon andalan. Dipadankan dengan 120Hz, ini satu pengalaman yang seronok menggunakan skrin telefon ini.

Pada bahagian belakang, terdapat sistem kamera 4 lensa yang dipisahkan melalui 2 bulatan.

Bulatan atas membariskan 50MP utama, 40MP monokrom dan 13MP sudut lebar.

Bulatan bawah pula terletaknya 64MP telefoto dan sebelahnya adalah cahaya LED.



Beralih kepada bahagian hadapan, swafoto yang dimaksudkan beresolusi 13MP. Kali ini Huawei sudah tidak menggunakan modul dwi lensa seperti pada model-model sebelum ini.

Sementara untuk bateri, ia berkapasiti 4,360mAh dengan pengecasan pantas Huawei SuperCharge 66W. Jika dibandingkan dengan Huawei P40 Pro sebelum ini, baterinya sedikit membesar sebanyak 120mAh.

Prestasi


Terdapat 2 versi Huawei P50 Pro yang wujud atas muka bumi. Yang pertama adalah versi Kirin 9000 dan yang kedua adalah Snapdragon 888 4G.

Untuk model Kirin 9000, ia secara khususnya dijual di China dan menjalankan HarmonyOS manakala versi Snapdragon adalah global dan menjalankan EMUI.

Disebabkan pasaran Malaysia menerima set global yang menggunakan Snapdragon 888, maka pengguna Malaysia akan menerima EMIU juga.



EMUI yang terdapat pada telefon ini adalah versi 12.0.1. Untuk prestasi menyeluruh termasuk bermain permainan video, kami akan mengujinya dengan lebih lanjut.

Sementara itu, ini adalah hasil ujian ukur aras prestasi dari beberapa perisian popular.

  • Geekbench




  • AnTuTu Benchmark




  • 3DMark




  • Androbench



Rumusan


Melalui penggunaan ringkas, Huawei P50 Pro sememangnya masih ada rasa DNA Huawei yang gemar bermain-main dengan rekaan baharu.

Cumanya bagi saya, mungkin ia kurang mengena pada citarasa sendiri. Dirasakan rekaan modul kamera itu seperti memerlukan 'sesuatu'. Mungkin dari segi aestatik atau bahasa rekaan, ia terasa kosong.

Memikirkan ini adalah sebuah telefon andalan, jangkaan saya lebih tinggi untuk rekaannya.



Namun begitu, saya masih menghormati keputusan Huawei memilih rekaan sebegini rupa. Dari perspektif lain, saya melihat ia satu rekaan berani yang menyerlahkan sisi ke'Huawei'an yang tidak didapati pada pesaing-pesaing lain.

Keseluruhan prestasi lebih-lebih lagi kamera saya akan wujudkan artikel khas. Tambahan saya nak mengulas tentang isu ketiadaan Google, adakah pengalaman tanpa Google pada Huawei P50 Pro lebih baik dari generasi-generasi sebelumnya.

Huawei P50 Pro akan dilancarkan pada 12 Januari nanti. Jadi untuk harganya sama-samalah kita tunggu tika pelancarannya.

 

Berkaitan