PUBG Dan Fortnite Dilaporkan Bakal Terima Persaingan Baru

Sebut sahaja permainan video jenis battle royale, pastinya permainan PlayerUnknown's Battlegrounds(PUBG) dan Fortnite yang akan terlintas di fikiran kita terlebih dahulu. Jika untuk platform mudah alih, mungkin Free Fire dan Rules of Survival termasuk dalam senarai.

Dua permainan popular berkenaan dijangka akan menerima pesaingan baru pada masa akan datang. Malah, persaingan itu bakal hadir daripada sebuah syarikat yang bukan calang-calang iaitu Electronic Arts(EA).


Kredit : GamersDecide


Menurut laporan IGN, perancangan untuk menghasilkannya telah dinyatakan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi EA iaitu Blake Jorgensen. Kenyataan itu dibuat bagi menjawab satu persoalan yang ditanyakan semasa pembentangan kewangan suku pertama mereka untuk tahun 2018.

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada mod battle royale yang ada pada permainan Battlefield 5 akan hadir dalam satu edisi yang diasingkan atau tidak. Menurut Blake, mereka tidak menolak untuk membangunkan sebuah permainan battle royale mandiri selepas ini.

https://youtu.be/YDegJ5gifRU

EA juga menyatakan bahawa permainan tersebut akan menjadi sebuah permainan free-to-play sekiranya dilancarkan kelak. Ia sekaligus akan memberi persaingan kepada permainan Fortnite yang dibangunkan oleh syarikat Epic Games.

Jika mereka benar-benar melakukannya, kita pasti akan dihidangkan dengan permainan battle royale bergrafik tinggi nanti. Ini kerana EA terkenal sebagai sebuah pembangun yang mementingkan kualiti grafik dalam setiap permainan video yang dihasilkan.


Kredit : EA


Untuk pengetahuan anda, Battlefield 5 akan dilancarkan secara rasmi pada 19 Oktober ini untuk peranti PC, PS4 dan Xbox One. Selain dari siri Battlefield, EA juga terkenal dengan beberapa siri terkemuka lain seperti permainan bola sepak FIFA, The Sims dan Need For Speed.

Sumber