Presiden Xiaomi Dedahkan Imej Mi Mix 3, Hadir Dengan Kamera Tersorok & Tanpa Takuk

Honor baru sahaja mendedahkan Magic 2 dengan kamera mekanikalnya di acara IFA semalam. Mungkin tercabar dengan peranti terbaru pesaingnya itu, Presiden Xiaomi, Lin Bin telah mempertontonkan model terbaru mereka, Mi Mix 3 melalui akaun Weibo-nya semalam. Menariknya, Mi Mix 3 juga mempunyai ciri yang hampir sama dengan Magic 2, iaitu kamera swafoto yang tersorok serta skrin paparan tanpa takuk.

Kredit : Weibo


Namun, beliau setakat ini masih belum memberitahu bagaimana kamera swafoto peranti itu akan dijalankan, samada secara manual seperti Honor Magic 2 mahupun seperti Oppo Find X(mekanikal). Melihat secara dekat imej peranti ini, dapat dilihat ia seakan-akan sama seperti Magic 2 di mana panel hadapan akan diluncur ke bawah bagi menonjolkan kamera swafoto.

Honor Magic 2 (Kredit : Android Authority)


Xiaomi sebelum ini cuba untuk membawa keluar rekaan takuk dengan mengalihkan kamera swafoto ke bahagian dagu peranti Mi Mix 2S. Selain kamera, peranti ini dijangka akan hadir dengan sistem cip Snapdragon 845, bagi membolehkan peranti Mi Mix 3S didatangkan dengan cip Snapdragon 855 yang lebih baik.

Mi Mix 2S (Kredit : Android Authority)


Berbalik kepada Mi Mix 3, Lin Bin dalam kiriman beliau turut mengesahkan bahawa peranti berkenaan akan dilancarkan secara rasmi pada bulan Oktober nanti. Maka kita mungkin akan dapat mendengar dengan lebih lanjut berkenaan Xiaomi Mi Mix 3 ini dalam masa terdekat.

 

Sumber