PettiChat memperkenalkan sebuah peranti pintar yang didakwa sebagai penterjemah dua hala masa nyata pertama di dunia untuk haiwan peliharaan. Peranti ini hadir bersama aplikasi mudah alih yang membolehkan pemilik memahami “mesej” daripada kucing atau anjing, selain menghantar mesej kembali dalam bentuk bunyi yang lebih mudah difahami oleh haiwan.
Projek ini turut mendapat sambutan di platform pendanaan awam (crowdfunding) Kickstarter, apabila berjaya mengumpul lebih USD130,000 (sekitar RM550,000) daripada lebih 800 penyokong di seluruh dunia.

PettiChat merupakan peranti boleh pakai seberat 27 gram yang dipasang pada kolar haiwan peliharaan. Ia menggunakan model kecerdasan buatan (AI) berasaskan rangkaian neural yang dilatih menggunakan lebih sejuta data vokalisasi haiwan.

Menurut syarikat itu, sistem tersebut mampu menterjemahkan salakan, bunyi mengiau, dengkingan dan geraman kepada notifikasi teks di telefon pintar dengan ketepatan kontekstual melebihi 90%.

Apa yang membezakan PettiChat ialah fungsi komunikasi dua hala. Selain memahami bunyi haiwan, pemilik juga boleh menaip atau bercakap melalui aplikasi sebelum mesej itu diterjemahkan kepada corak frekuensi bioakustik yang direka untuk lebih mudah difahami oleh kucing atau anjing.
Peranti ini turut dilengkapi beberapa ciri tambahan seperti penarafan kalis air dan habuk IP65, pengecasan magnetik, sambungan Bluetooth serta Wi-Fi, fungsi geofencing dan penjejakan lokasi masa nyata, selain diari emosi dan tingkah laku yang membantu pemilik memantau perubahan emosi haiwan dari semasa ke semasa.

PettiChat menyasarkan untuk membantu pemilik memahami keperluan haiwan peliharaan dengan lebih baik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tekaan dalam penjagaan harian.
PettiChat dijual pada harga RM649.
{suggest}
