UAE Membenarkan Perkahwinan Secara Dalam Talian Melalui Persidangan Video

Emiriah Arab Bersatu (UAE) mula membenarkan perkhidmatan perkahwinan dalam talian bagi pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan sepanjang tempoh penularan pandemik Covid-19. Perkara ini dilaporkan oleh akhbar tempatan negara itu, The National.

Kementerian Keadilan, yang bertanggungjawab untuk mendaftarkan perkahwinan di negara itu, telah membangunkan sebuah sistem e-zawaj bagi pasangan yang terlibat untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan untuk merekodkan perkahwinan mereka.



Menerusi laman tersebut, calon suami dan isteri diminta untuk memilih seorang jurunikah dari senarai pendaftar perkahwinan yang diluluskan. Setelah permohonan diluluskan, tarikh untuk pernikahan secara maya melalui persidangan video (video conferencing) akan ditetapkan, di mana jurunikah akan meminta tandatangan digital pasangan sebelum kontrak perkahwinan dikeluarkan.

Setelah itu, jurunikah akan menghantar e-mel kontrak tersebut kepada mahkamah syariah untuk meneliti dah mengesahkan sebelum salinan kontrak perkahwinan yang diluluskan dihantar melalui telefon kepada pasangan yang terlibat.

Dalam pada itu, agensinya berkata, perkhidmatan perkahwinan digital bertujuan untuk melindungi kesihatan awam dan memudahkan akses kepada prosedur undang-undang dalam keadaan semasa dengan bergantung pada sistem keadilan pintar.

Pada masa ini, UAE telah merekodkan 3736 kes dan 20 kematian akibat Covid-19. Ia mendorong perkhidmatan awam dilakukan secara dalam talian.

Sumber: The Canberra Times