Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
autonomous vehicle

Peraturan Global Pertama Kereta Pandu Sendiri Diluluskan, Pengeluar Wajib Buktikan Sistem Bebas Risiko

Diterbitkan Jun 25, 2026 oleh ariff bukhari

Peraturan global pertama bagi kenderaan autonomi sepenuhnya telah diluluskan pada hari Rabu, menurut sebuah agensi PBB.

Langkah ini menetapkan syarat keselamatan antarabangsa yang seragam, sekali gus membuka jalan kepada peluncuran kereta pandu sendiri secara lebih meluas.

Sebelum ini, kebimbangan mengenai faktor keselamatan dan kos pembangunan sistem tahap tinggi telah lama memperlahankan kemajuan kenderaan autonomi.

Apabila kereta pandu sendiri mula memasuki jalan raya di semakin banyak bandar, pendekatan kawal selia peringkat nasional yang berpecah-pecah telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengeluar.

Mereka bimbang kenderaan yang dibangunkan untuk sesebuah pasaran mungkin akan disekat di pasaran negara lain.

Bagi menangani isu tersebut, mesyuarat Forum Sedunia untuk Penyelarasan Peraturan Kenderaan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva telah memutuskan untuk memperkenalkan rangka kerja kawal selia global bagi kenderaan yang dilengkapi Sistem Pemanduan Autonomi (ADS) sepenuhnya.

Forum tersebut menghimpunkan berpuluh-puluh buah negara, pembuat kereta, dan gergasi teknologi.

“Landskap kawal selia global telah mencapai satu mercu tanda yang penentu,” kata Suruhanjaya Ekonomi PBB untuk Eropah (UNECE), iaitu organisasi induk forum berkenaan yang dianggotai oleh 56 negara ahli di Eropah, Amerika Utara, dan Asia.

‘Langkah Yang Sangat Besar’

Rangka kerja kawal selia baharu ini, yang tidak merangkumi sistem pemanduan berbantu (assisted systems), diperkenalkan ketika pasaran sedang rancak membangun, terutamanya bagi segmen yang dipanggil “robotaxi” — iaitu kereta tanpa pemandu yang sarat dengan sensor.

Di China dan Amerika Syarikat, gabungan armada robotaxi swasta telah meningkat lebih dua kali ganda pada tahun 2025 untuk mencecah 8,000 kenderaan di lebih dua belas bandar utama, menurut laporan Mei oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Menjelang tahun 2035, IEA meramalkan akan terdapat antara 700,000 hingga tiga juta robotaxi yang beroperasi di 40 hingga 80 buah bandar utama.

Peraturan global ini bertujuan “untuk memperkukuh kepercayaan antara kerajaan, industri, dan orang awam dengan memastikan sistem automatik di mana-mana sahaja memenuhi piawaian keselamatan yang ketat,” kata UNECE.

“Ini adalah satu langkah yang sangat besar,” kata Richard Damm, pengerusi Kumpulan Kerja UNECE mengenai Kenderaan Automatik/Autonomi dan Terhubung (GRVA) yang mengemukakan cadangan tersebut.

“Ia sangat penting, memandangkan automasi akan menjadi salah satu teknologi masa depan yang bakal kita lihat di jalan raya,” katanya kepada AFP.

Rangka kerja baharu ini akan mewajibkan pengeluar memastikan ujian kenderaan memenuhi kriteria kredibiliti yang ketat, selain melaksanakan tadbir urus dan proses keselamatan yang telah diaudit sepanjang kitaran hayat ADS.

Mereka juga perlu mengemukakan bukti bahawa sistem mereka “tidak mendatangkan risiko yang tidak munasabah”, kata UNECE, dan dikehendaki menyediakan pemantauan prestasi yang berterusan. Kenderaan tersebut juga mesti merekod dan menyimpan data ADS yang berkaitan dengan keselamatan.

Sasaran Januari 2027

Langkah itu disokong oleh semua pasaran automotif utama termasuk Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah, Jepun, dan Britain.

Organisasi itu turut menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan di peringkat seluruh dunia akan berjalan pantas.

“Kami menjangkakan ia akan mula berkuat kuasa pada Januari 2027,” kata setiausaha GRVA, Francois Guichard kepada AFP, sambil menambah bahawa beberapa pengeluar “sudah pun berada di garisan permulaan”.

Di bawah sistem peraturan kenderaan antarabangsa yang kompleks, set peraturan yang sama telah diluluskan dalam dua undian berasingan pada hari Rabu, menurut UNECE. Peraturan tersebut akan dimasukkan ke dalam dua perjanjian antarabangsa sedia ada, yang disertai oleh kumpulan negara yang berbeza dan sebahagiannya bertindih.

Lebih separuh daripada 62 negara yang menganggotai perjanjian tahun 1958 menyertai undian hari Rabu, dan bersetuju sebulat suara untuk melaksanakan peraturan baharu itu. Di bawah perjanjian ini, kenderaan autonomi yang dikeluarkan di salah sebuah negara anggota boleh dijual tanpa sekatan lanjut di negara anggota yang lain.

Sementara itu, Amerika Syarikat, Kanada, dan China — yang bukan sebahagian daripada perjanjian pertama — adalah antara 13 buah negara yang mengundi untuk menambah set peraturan yang sama ke dalam perjanjian tahun 1998.

Peranjian ini adalah serupa tetapi tidak menyediakan pengiktirafan bersama (mutual recognition) antara negara.

Damm menegaskan bahawa tindakan membawa masuk semua pemain industri utama ini tidak bermakna piawaian keselamatan telah dilonggarkan.

“Peraturan ini bukanlah satu kompromi terhadap aspek keselamatan,” katanya.

– AFP.

Berkaitan

  • Laluan Ujian Kereta Pandu Sendiri Kini Dibuka Kepada Umum
  • Nvidia Lancar Perisian Sumber Terbuka Untuk Pembangunan Kereta Pandu Sendiri
  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Pulau Pinang Sedang Bangunkan Pulau Silikon, Bakal Tawar 220,000 Peluang Pekerjaan
  • 3 Headphone ANC Bawah RM200
  • Kadar Tambang ECRL Akan Diumumkan Menjelang Akhir Oktober - Operasi Disasar Bermula Pertengahan Disember
  • Tiket Tonton Filem Dan Teater Di Wilayah Persekutuan Dikecualikan Duti Hiburan
  • Belanjawan 2027: Belia Lengkapkan Jam Sukarelawan Layak Terima RM100 E-Dompet Secara 'One-Off'
  • Belanjawan 2027: Kerajaan Tambah 100,000 Langganan AI Percuma, Termasuk ChatGPT
  • TNB Labur RM15 Bilion Perkukuhkan Grid Nasional
  • Belanjawan 2027: NSRC Akan Bangunkan Aplikasi AI, Bantu Pengguna Semak Butiran Mencurigakan
©2026 WISER.MY