Peranti Xiaomi Mi 8 Habis Terjual Dalam Masa Kurang Satu Minit

Syarikat Xiaomi telah mula memasarkan peranti kelas perdana terbaru mereka, Xiaomi Mi 8 di pasaran China semalam pada 5 Jun yang lepas. Dan sempena dengan itu, pihak Xiaomi telah menjalankan satu promosi jualan kilat di negara tembok besar itu bagi menandakan penjualan peranti tersebut sudah bermula.



Dan seperti dijangka, Xiaomi telah mengumumkan peranti Mi 8 ini habis terjual kurang satu minit selepas ia mula dijual. Untuk maklumat, mengikut catatan masa tidak rasmi, peranti tersebut habis dijual dalam masa cuma 37 saat sahaja.

Xiaomi Mi 8 merupakan antara peranti yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat bagi tahun ini. Peranti ini bukan sahaja mempunyai daya tarikan luaran yang tinggi, tapi ia juga hadir dengan kebolehan dalam yang menakjubkan.

Dengan menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845 yang disokong oleh memori 6GB RAM serta harga jualan pada $ 420(~RM 1,669), tidak hairanlah peranti ini akan terjual dengan pantas terutama di pasaran China. Ia juga akan menggunakan skrin AMOLED yang digunapakai pada peranti perdana lain yang lebih mahal.



Tambahan pula, Xiaomi Mi 8 ini turut hadir dengan tiga variasi ROM iaitu 64GB, 128GB dan 256GB. Selain itu, peranti ini juga dilengkapi dengan teknologi pengesanan wajah 3D, dwi-kamera utama 12MP + 12MP serta kamera hadapan 20MP.

Peranti ini akan turut dijual di beberapa pasaran luar China selepas ini seperti Mesir, Sepanyol dan Vietnam. Tiada sebarang maklumat berkenaan kemasukan peranti ini secara rasmi bagi pasaran Malaysia, namun peminat Xiaomi dijangka boleh mendapatkan peranti ini melalui pengimport tempatan kelak.

Sumber