Peranti Kelas Perdana Terbaru Nokia Dilaporkan Bakal Hadir Dengan Pengimbas Cap Jari Di Dalam Skrin Paparan

HMD Global baru-baru ini dilaporkan dalam proses untuk membangunkan sebuah lagi peranti kelas perdana terbaru mereka yang dikatakan akan diperkenalkan sebagai Nokia 9 atau Nokia A1 Plus. Berdasarkan maklumat terbaru, peranti ini dikatakan akan hadir dengan pengimbas cap jari di dalam skrin paparan.

Teknologi ini telah digunapakai pada peranti Vivo X21 sebelum ini dan ia dijangka akan menjadi salah satu trend terbaru bagi peranti telefon pintar pada masa akan datang. Ini kerana ia bersesuaian dengan kehendak pasaran untuk memaksimakan paparan hadapan peranti tanpa perlu menyediakan ruang bagi pengimbas cap jari di bawah skrin.


Imej tidak rasmi (Kredit : MySmartPrice)


Bagaimanapun, ia bukan satu-satunya maklumat terkini berkenaan peranti ini yang didedahkan. Peranti ini juga dilaporkan akan menjadi peranti pertama Nokia yang akan menggunakan cip pemprosesan terbaru keluaran Qualcomm iaitu Snapdragon 845 dengan clockspeed sehingga 2.8 GHz.

Dari segi paparan skrin pula, Nokia 9 atau A1 Plus ini dikatakan akan menggunakan skrin jenis OLED yang akan dibekalkan oleh syarikat dari Korea iaitu LG. Ia juga dijangka akan hadir dengan sistem operasi terbaru dari Google iaitu Android P.


Kredit : NDTV


Selain itu, HMD Global diberitakan akan membuat sesuatu kelainan pada kamera peranti ini namun ianya masih lagi kekal dirahsiakan oleh pihak mereka. Bagaimanapun, terdapat beberapa khabar angin yang menyatakan mereka akan menghasilkan kamera periskop seperti yang digunapakai pada peranti Vivo Nex.

Lebih banyak maklumat berkenaan peranti ini mungkin akan dapat diketahui pada masa terdekat. HMD Global dijangka akan memperkenalkan peranti ini buat pertama kali semasa acara IFA 2018 yang akan berlangsung awal September ini. Ikuti laman Facebook rasmi Nokia Malaysia untuk tidak terlepas daripada mengetahui maklumat terbaru berkenaan perkara ini.

Sumber