Pengalaman Menggunakan Aplikasi Touch 'n Go eWallet- Tidak Seperti Yang Kami Harapkan

Bila bercakap tentang kad Touch n' Go, semua orang akan berkongsi pendapat yang sama, betapa lecehnya untuk tambah nilai kad dengan kebanyakkan tol sudah tidak menyediakan barisan tambah nilai, kalau ada pun hanyalah satu barisan.

Jadi apa alternatif lain selain daripada kita perlu singgah di stesen minyak atau 7-eleven untuk menambah nilai?

Ya, jawapannya mudah, kita sangat memerlukan kaedah tambah nilai terus menerusi telefon pintar. Apabila pihak TNG Digital Sdn Bhd mengumumkan aplikasi Touch n' Go eWallet, ramai yang menghembuskan nafas lega. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menukar cara pembayaran tol dan topup kad Touch N' Go.


Namun, apabila saya menggunakan aplikasi eWallet TNG ini, saya berasa agak kecewa.


Tetapi sebelum itu, saya akan tunjukkan dahulu apa yang ditawarkan oleh aplikasi Touch n' Go eWallet. Memuat turun aplikasi dan mendaftar adalah sangat mudah. Isi maklumat peribadi anda dan boom selesai.

Di ruang hadapan anda akan disajikan dengan baki eWallet. Anda boleh menambah nilai melalui online banking. Anda juga boleh menyemak transaksi yang pernah dibuat melalui TNG eWallet ini. Tambah nilai prepaid dan pembayaran bil ASTRO juga boleh dilakukan melalui aplikasi ini.



Kemudian terdapat fungsi 'Scan', 'Pay' dimana anda boleh menggunakan duit dalam TNG eWallet ini untuk membuat atau menerima bayaran melalui kaedah QR. Setakat ini ia hanya boleh digunakan di Mid Valley Megamall dan The Guardians Mall. Namun, harus diingat, tak semua kedai menyediakan kaedah pembayaran melalui TNG eWallet ini.

Ketika ini, kedai yang menyokong pembayaran melalui TNG eWallet adalah Tealive, Haagen Dazs, Gindaco Takoyaki, Liao Liao, 4Fingers, Bath & Body Works, Boost juice, Caring Pharmacy, Charles & Keith, Chillis, DOME Cafe, GNC, Love& Co, Mou Tak Ding, MPH Bookstores, Pedro, Poh Kong, Popular Bookstore, Sacoor Brothers, Tumi, Jaya Grocer dan tambahan beberapa lagi kedai kelak.



Pada saya, ia adalah satu langkah yang bagus dari TNG untuk menggalakkan gaya hidup cashless, jadi tiada komplen di situ. Saya lebih berminat untuk melihat bagaimana aplikasi eWallet ini dapat membantu saya membuat pembayaran TOL.

Mulanya anda perlu memasukkan no siri kad Touch n' Go anda untuk disambungkan ke dalam aplikasi. Kemudian anda terpaksa menunggu 15 minit sebelum aplikasi mengemaskini akaun.



Tetapi apa yang mengecewakan adalah pengguna hanya boleh menyemak baki kad Touch n' Go SAHAJA. Anda tidak boleh topup kad melalui aplikasi eWallet. Ini bermakna kad dan aplikasi eWallet ini adalah dua akaun yang berbeza. Apa yang membuatkan saya lebih kecewa apabila baki kad yang dipamerkan bukan dalam real-time! Ia hanya menunjukkan baki 2 hari yang lepas.

Saya telah menghubungi pihak TNG tentang perkara ini, dan mereka memberitahu mereka masih lagi dalam fasa percubaan untuk membawakan fungsi dimana jika baki di dalam kad tidak mencukupi, tambang tol akan ditolak melalui akaun eWallet. Tetapi fungsi ini hanya boleh didapati di lebuhraya DUKE ketika ini.

Jadi apa guna Touch n' Go buat eWallet? Pengguna tidak boleh menyemak baki TERKINI dan masih lagi perlu topup kad seperti biasa. Saya sangat berharap pihak TNG Sdn Bhd mengambil berat tentang hal ini dan membawa kemaskini yang betul-betul memudahkan pengguna menambah nilai kad Touch n' Go atau mungkin tambang tol boleh dibayar terus menggunakan telefon tanpa perlu lagi menggunakan kad di masa akan datang.

Sekian sahaja keluhan.

Muat turun kat sini Android/iOS