Pelajar Ditipu Dan Kehilangan RM84,600 Dalam Pelaburan Mata Wang Digital

Seorang pelajar kehilangan sehingga RM84,600 selepas ditipu dalam pelaburan wang digital yang diiklankan melalui Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt E. Sundra Rajan mengatakan insiden ini berlaku pada 5 Januari yang lalu di mana pelajar yang berumur 25 tahun dari sebuah universiti swasta di Melaka menjadi mangsa selepas berinteraksi dengan scammer menerusi WhatsApp.

Tambahnya lagi, pelajar tersebut dijanjikan pulangan lumayan dalam masa 72 jam dan diarahkan untuk mendaftar di laman web antara 5 Januari hingga 8 Januari.

Kemudian, mangsa melakukan beberapa transaksi ke lima akaun berbeza secara berperingkat untuk membeli bitcoin yang berjumlah RM84,600. Lebih teruk, mangsa terus dikerah untuk membuat pembayaran oleh suspek sehingga kehabisan wang.



Berikutan itu, mangsa memberitahu anggota keluarganya dan terus membuat laporan polis pada 8 Januari dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Dalam pada itu, polis menasihati orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan iklan dan tawaran terutama dalam pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Sekiranya anda ingin membuat pelaburan dalam wang digital anda boleh dapatkan maklumat berkaitan melalui Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Keselamatan.

Setakat ini di Malaysia, hanya tiga syarikat sahaja yang dilesenkan iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd dan Tokenize (M) Sdn Bhd.

Sumber: Bernama