Konsep Kaca Mata AR Samsung, Boleh Dikawal Dengan Jam Pintar

Kaca mata AR mungkin menjadi sebuah peranti yang akan digunakan secara meluas pada masa hadapan. Ini boleh dilihat dimana jenama seperti Microsoft, vivo dan Apple juga ingin membangunkannya.

Samsung tidak ketinggalan, mereka turut dikhabarkan akan hadir dengan kaca mata AR ini.



Menerusi WalkingCat, beliau telah mendedahkan dua video konsep bagaimana kaca mata AR Samsung ini berfungsi.

Kemungkinan video yang didedahkan ini adalah daripada Samsung sendiri memandangkan WalkingCat mempunyai rekod yang baik dalam meniriskan maklumat produk Samsung dan Microsoft.

Dalam video pertama, ia menunjukkan Samsung Glass Lite dimana kaca mata ini mampu memaparkan paparan seakan fungsi projektor.



Dengan projektor yang dipancarkan, ia membolehkan pengguna untuk bermain permainan, menonton filem dan juga penggunaan komputer.



Dalam video kedua pula, ia memaparkan konsep kaca mata AR Samsung. Fungsi yang diperlihatkan adalah seakan Microsoft HoloLens yang mana pengguna dapat melihat dan berinteraksi dengan objek maya di dunia nyata.



Dalam erti kata lain, fungsi ini mirip yang kita lihat dalam filem Marvel iaitu Iron Man yang mana Tony Stark menggunakan holografik dalam kerja-kerjanya.



Selain itu, perkara yang menarik dalam video tersebut adalah penggunaan jam pintar untuk kegunaan navigasi kaca mata ini.

Walau bagaimanapun, ia masih lagi sebuah konsep dan Samsung sendiri belum mengeluarkan maklumat lain berkaitannya.

Dalam pada itu, Samsung dikhabarkan mungkin menggunakan Wear OS pada jam pintar mereka pada masa akan datang.

Sumber: The Verge