Paramount Skydance menuntut California dan beberapa negeri lain di Amerika Syarikat yang cuba menghalang penggabungannya dengan Warner Bros supaya menyediakan jaminan sebanyak AS$1.9 bilion, bagi menampung kos yang perlu dibayar syarikat itu sekiranya urus niaga tersebut tertangguh.
Tuntutan itu dibuat menerusi saman yang difailkan pada Isnin dan menjadi perkembangan terbaru dalam pertikaian antara syarikat media berkenaan dengan gabungan beberapa negeri yang menentang penggabungan tersebut.
Paramount, yang diketuai David Ellison, sebelum ini melancarkan bidaan bernilai AS$110 bilion untuk menguasai sejumlah aset termasuk Warner Bros. Pictures, CNN dan perkhidmatan penstriman HBO Max.
Penentang dalam industri perfileman mendakwa gabungan kedua-dua syarikat berpotensi menyebabkan pengurangan pekerjaan dalam industri Hollywood yang sudah berdepan tekanan, selain mengurangkan jumlah filem yang dihasilkan setiap tahun.
Beberapa kumpulan media berita pula bimbang kebebasan editorial CNN boleh terjejas selepas pengambilalihan tersebut.
Pemfailan pada Isnin turut mencerminkan tekanan yang dihadapi Paramount apabila syarikat itu perlu membayar caj kelewatan sebanyak AS$7 juta sehari kepada pemegang saham Warner Bros sekiranya pengambilalihan tersebut masih belum selesai menjelang 1 Oktober.
Paramount menerusi saman tersebut cuba melindungi dirinya daripada menanggung kos berkenaan, dengan berhujah caj tersebut hanya akan berlaku disebabkan tindakan undang-undang yang sedang berjalan.
Sekiranya hakim meluluskan permohonan itu dalam perbicaraan pada Rabu, California bersama 11 negeri lain serta Writers’ Guild of America, yang turut menyaman untuk menghalang penggabungan tersebut, boleh dipertanggungjawabkan membayar jumlah berkenaan sekiranya tindakan undang-undang mereka gagal.
Minggu lalu, Ellison turut mengancam untuk memindahkan syarikat itu keluar dari California sekiranya Peguam Negara negeri tersebut, Rob Bonta, enggan berunding berhubung saman berkenaan.
Bonta menyifatkan ancaman tersebut sebagai satu bentuk “pemerasan”.
Kerajaan persekutuan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan kerajaan Britain merupakan antara pihak yang sudah memberi kelulusan kepada pengambilalihan tersebut. – AFP
{suggest}
