Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Oura Ring 5

Oura Ring 5 Kini Rasmi Di Malaysia, Harga Bermula RM1,999

Diterbitkan Ogos 30, 2026 oleh Amsyar Latif

Oura secara rasmi membawa masuk Oura Ring 5 ke pasaran Malaysia, sekali gus memperkenalkan generasi terbaru cincin pintar kesihatan syarikat itu yang tampil dengan reka bentuk lebih kecil, ringan dan nipis berbanding generasi sebelumnya.

Oura merupakan antara perintis kategori cincin pintar, dengan produknya digunakan sebagai teman pemantauan kesihatan harian oleh jutaan pengguna.

Pendekatan Oura turut berasaskan penyelidikan dan pembangunan oleh pasukan sains pelbagai disiplin, manakala pengukuran dari jari membolehkan cincin memperoleh isyarat fisiologi yang lebih jelas berbanding lokasi yang lebih jauh daripada arteri utama seperti pergelangan tangan.

Oura Ring 5

Menurut Oura, Ring 5 merupakan model paling kompak yang pernah dihasilkannya dan mampu menjejak lebih 50 metrik kesihatan. Ia juga sehingga 40% lebih kecil berbanding generasi terdahulu, dengan berat sekitar 2 hingga 2.69 gram dan ketebalan 2.28mm bergantung kepada saiz.

Oura Ring 5

Antara fokus utama Oura Ring 5 ialah pemantauan tidur, aktiviti, tahap kesediaan badan, kesihatan jantung, tekanan serta kesihatan wanita. Ia menggunakan konfigurasi sensor LED yang direka semula dan ditentukur semula bagi memberikan bacaan kesihatan lebih tepat dan diperibadikan.

Selain itu, Oura turut menawarkan fungsi seperti Symptom Radar untuk mengesan tanda awal perubahan pada tubuh, pemantauan kitaran haid serta Oura Advisor berasaskan AI yang boleh memberikan panduan berdasarkan data kesihatan pengguna.

Dari segi binaan, Oura Ring 5 menggunakan titanium gred aeroangkasa, tahan calar serta kalis air. Baterinya pula mampu bertahan sekitar 6 hingga 9 hari dengan sekali pengecasan, bergantung kepada saiz cincin dan corak penggunaan.

Oura Ring 5

Di Malaysia, Oura Ring 5 ditawarkan pada harga bermula RM1,999 untuk warna Black dan Silver. Pilihan Gold, Deep Rose, Brushed Silver dan Stealth pula berharga RM2,499.

Produk ini dibawa masuk oleh pengedar tempatan, Leader Radio Technologies Sdn Bhd (LRT). Pengguna yang mahu mencubanya sendiri boleh mengunjungi Oura Ring Pop-Up Store di Harvey Norman, LG Floor, Mid Valley Megamall dari 29 hingga 31 Ogos 2026.

Oura Ring 5

LRT turut mengadakan program pengenalan dan tawaran naik taraf untuk pemilik Oura Ring terdahulu, termasuk promosi tukar beli (trade-in) sempena acara pelancaran di Mid Valley.

Berkaitan

  • Oura Ring 4 Dilancar, Lebih Selesa Dipakai Dan Data Kesihatan Lebih Tepat
  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • (Ulasan) HONOR 600S — Tahan Lasak Dengan Bateri 8,100mAh, Tapi Bukan Untuk Semua Orang
  • Microsoft Tawar 60,000 Pekerja Mereka Berhenti Sukarela Sambil Berbelanja Besar Pada AI
  • iOS 27.2 Tersedia Dengan Ciri Baharu, Lebih 160 Kelemahan Keselamatan Dibaiki
  • OpenAI Lancar GPT-6.1 Terra, Lebih Pantas Dengan Ketepatan Fakta Dipertingkat
  • SoftBank Rancang Pelaburan AS$50 Bilion Dalam Teknologi Di Malaysia - PM Anwar
  • Selepas Didenda €200 Juta, Temu Janji Perketat Kawalan Penjualan Produk Tidak Sah
  • iPad mini Baharu Rasmi Dengan Skrin OLED, Cip A20 Pro, Harga Bermula RM2,999
  • Fungsi Navigasi TuJu Alami Gangguan, Pemulihan Dijangka Selesai Selewatnya 6 November
©2026 WISER.MY