Oppo R15 Pro - Ibarat Pisang Goreng Cheese, Sedap Tapi Harga Tidak Sepadan

Oppo sejak dua tiga tahun kebelakangan ini sudah mula mengorak langkah untuk menjadi antara syarikat pengeluar telefon pintar utama dunia. Kini, peranti keluaran mereka sudah semakin dikenali terutamanya dari segi kualiti kameranya. Peranti Oppo telah dikelaskan kepada beberapa siri antaranya Oppo F, Oppo Find, Oppo A dan Oppo R sendiri. Baru-baru ini, mereka telah melancarkan sebuah lagi peranti dari siri R iaitu Oppo R15 Pro.

Oppo R15 Pro merupakan model terbaru dalam keluarga Oppo R selepas model terakhir dalam siri tersebut ialah Oppo R11 yang telah dilancarkan pada bulan Mei 2017. Oppo telah melakukan tugas yang baik dalam mempromosikan peranti ini sehinggakan ia menjadi salah satu peranti yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat Oppo. Adakah prestasi peranti ini sama cemerlang dengan promosi yang dijalankan? Untuk mengetahui jawapannya, jom ikuti pandangan kami selepas diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan Oppo R15 Pro.

Rekaan Luaran



Seperti kebanyakkan peranti yang diperkenalkan pada tahun ini, Oppo R15 Pro turut hadir dengan rekaan kaca di kedua-dua bahagian hadapan dan belakang peranti bagi memperlihatkan tona warna yang lebih menarik pada badan peranti. Peranti ini hadir dengan dua pilihan variasi iaitu edisi biasa dan juga edisi premium yang dikenali sebagai 'Dream Mirror'. Edisi premium ini mempunyai dua variasi warna iaitu Ruby Red dan Cosmic Purple, dan model yang ada pada kami adalah variasi warna Cosmic Purple.

Peranti ini menggunakan paparan skrin jenis AMOLED dengan saiz 6.28 inci beresolusi FHD+ serta nisbah paparan pada 19:9. Bingkai pada bahagian atas dan tepi paparan hadapan adalah sangat nipis namun pada bahagian dagu, ianya kelihatan agak tebal. Walaupun peranti ini turut menggunapakai rekaan takuk, nisbah paparan pada panel hadapan peranti mencapai tahap ~89% dan ia juga merupakan antara yang tertinggi di antara peranti Oppo yang lain.



Pada bahagian panel belakangnya pula, tindakan Oppo menggunakan panel kaca pada peranti ini telah menyebabkan warnanya kelihatan sedikit berubah jika dilihat dari sudut berbeza. Walaupun perubahan warna berkenaan tidaklah sejelas perubahan yang dapat dilihat pada peranti Honor 10, ianya masih lagi mampu memberi keterujaan kepada mereka yang melihatnya.

Pertama kali melihat panel peranti ini, ia terus mengingatkan kami kepada reka bentuk yang ada pada peranti OnePlus 6. OnePlus 6 turut menggunakan rekaan kaca yang sama seperti Oppo R15 Pro.

Kamera utama dwi-lensa peranti ini telah dipasang secara melintang di bahagian bucu atas sebelah kiri peranti. Ciri dwi-kamera utama ini telah digunakan buat julung kalinya oleh pihak Oppo pada Oppo R15 Pro kali ini. Selain itu, pengimbas cap jari berbentuk oblong turut diletakkan berhampiran dengan logo Oppo di bahagian tengah panel belakang maka hujung jari tidak akan tersentuh lensa kamera semasa menyahkunci peranti.



Untuk bahagian sisi peranti pula, butang volume telah dipasang pada bahagian sisi kiri manakala butang Power pula telah dipasang pada bahagian sisi kanan peranti. Pada sisi bawah peranti pula terdapat port mikroUSB untuk tujuan pengecasan, bicu audio 3.5mm dan pembesar suara untuk kegunaan sistem bunyi peranti. Dengan berat sekitar 180g dan 8mm tebal, peranti ini boleh dikatakan agak selesa dipegang namun dengan saiz 6.28 inci, agak sukar untuk mengendalikan Oppo R15 Pro ini menggunakan sebelah tangan.

Antaramuka

Oppo R15 Pro menggunakan antaramuka ColorOS 5.0 yang dibangunkan berdasarkan Android 8.1 Oreo. Ia merupakan antaramuka yang sama digunakan oleh sebuah lagi peranti keluaran Oppo iaitu Oppo F7. Seperti yang diketahui, ColorOS adalah satu antaramuka yang kelihatan hampir sama dengan iOS.



Tiada app drawer yang boleh digunakan pada peranti ini di mana jika anda swipe ke bahagian kiri, anda akan dapati terdapat ruang shortcut dan widget seperti Step Tracker, info cuaca, dan banyak lagi. Anda boleh memilih widget atau aplikasi untuk di paparkan pada bahagian berkenaan mengikut citarasa anda.

Seperti biasa, pengguna boleh swipe dari atas ke bawah untuk mengakses notifikasi dan control centre dengan beberapa pilihan toggle switch yang anda boleh ubahsuai mengikut kesesuaian anda. Butang navigasi pada bahagian bawah paparan juga kelihatan kemas dan minimalis.



Sama seperti peranti Oppo F7, Oppo R15 Pro turut mempunyai sokongan fungsi Game Acceleration yang dapat meningkatkan keupayaan perkakasan dalam memberikan prestasi yang lebih baik semasa bermain permainan video. Selain itu, anda juga boleh menggunakan fungsi split-screen dan Clone Apps pada aplikasi ini.

Secara keseluruhannya, antaramuka pada peranti Oppo R15 Pro ini adalah kemas dan tidak terlalu banyak make-up.

Spesifikasi Dalaman

Berbeza dengan edisi biasa, edisi Dream Mirror yang diberikan kepada kami hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 660 yang disokong oleh memori 6GB RAM. Tiada masalah lagging yang ketara kami dapati semasa permainan video seperti PUBG Mobile dan Real Racing 3 namun untuk kelancaran maksima, kami terpaksa menggunakan tetapan grafik medium pada kedua-dua permainan.

Qualcomm Snapdragon 660 yang digunakan pada peranti ini hadir dengan binaan 8 teras, di mana 4 teras Kryo 260 dengan kelajuan 2.2 GHz dan 4 teras Kryo 260 dengan kelajuan 1.8 GHz. Manakala untuk unit pemprosesan grafiknya pula, Oppo R15 Pro menggunakan unit pemprosesan grafik Adreno 512.

Semasa melayari laman media sosial menggunakan peranti ini, kami dapati tiada masalah lagging dan ia dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Bagaimanapun, sekiranya anda menggunakan peranti ini secara berterusan selama lebih kurang satu jam, anda akan dapati badan peranti akan mula menjadi panas.

Oppo R15 Pro ini turut menyokong fungsi kad mikroSD sehingga 256GB walaupun sudah mempunyai storan dalam sehingga 128GB. Maka, pengguna tidak perlu risau tentang masalah ruang simpanan tidak mencukupi untuk menyimpan fail-fail media ataupun permainan video kegemaran anda.



Dari segi bateri pula, peranti ini akan dikuasakan oleh bateri berkapasiti 3,430 mAh yang mampu bertahan selama satu hari pada penggunaan ringan. Namun, peranti ini cuma dapat bertahan kurang daripada 12 jam jika digunakan secara kerap. Peranti ini turut menyokong fungsi pengecasan pantas Oppo iaitu VOOC Charging.

Kamera

Peranti ini datang dengan ciri dwi-kamera utama yang menggabungkan lensa 16 MP dan 20 MP di mana kedua-duanya hadir dengan bukaan aperture f/1.7. Dengan gabungan dua lensa tersebut, kualiti imej yang diperolehi adalah agak baik. Bagaimanapun, tiada sebarang keistimewaan yang kami dapati pada prestasi kamera utama peranti ini.

Tona warna pada imej yang ditangkap dapat dihasilkan dengan agak baik, namun ketajaman imej mungkin boleh lebih diperbaiki      Fungsi bokeh pada peranti ini kami dapati dapat dijalankan dengan agak baik


Kualiti gambar yang diambil pada suasana kurang cahaya pada pendapat kami hanya mencapai tahap memuaskan


Bagaimanapun, seperti diketahui umum peranti Oppo lebih memfokuskan kepada kualiti imej swafoto. Maka tidak mengejutkan apabila imej yang ditangkap menggunakan kamera hadapan dengan lensa 20MP f/2.0 adalah sangat baik.

Imej yang ditangkap dengan fungsi AI Beauty ModeImej swafoto pada suasana pengcahayaan rendah


Bagi rakaman video pula, peranti ini mampu merakam video pada definisi 2160p pada 30fps, 1080p pada 60/120fps dan 720p pada 240fps. Agak mengecewakan apabila peranti ini tidak disokong oleh mana-mana sistem penstabilan imej.

Sistem Nyahkunci



Peranti ini menyokong fungsi sistem nyahkunci yang biasa terdapat pada peranti keluaran terkini yang lain iaitu pengimbas cap jari dan pengesan wajah. Pengimbas cap jari mampu berfungsi pada kelajuan sepantas kilat dan pengesan wajah juga dapat berfungsi pada pengcahayaan sedikit rendah dengan agak baik. Namun, sekiranya keadaan sekeliling agak gelap atau semasa anda berada diluar rumah pada waktu malam, kami nasihatkan anda untuk menggunakan pengimbas cap jari memandangkan pengesan wajah tidak berfungsi dengan baik.

Harga



Semasa pelancaran peranti ini buat pasaran Malaysia pada 25 Mei yang lalu, peranti ini diletakkan pada harga pasaran RM 2,399. Jika dilihat pada spesifikasi yang ada pada Oppo R15 Pro ini, kami berpendapat bahawa peranti ini dijual pada harga yang agak tinggi. Pada harga berkenaan, terdapat beberapa peranti lain boleh didapati dengan harga yang sama namun dengan spesifikasi lebih tinggi.

Rumusan 



Kualiti yang ada pada kamera swafoto Oppo R15 Pro ini tidak dapat disangkal lagi. Ia mencapai standard yang kami harapkan bagi sesebuah peranti keluaran Oppo yang terkenal dengan kualiti swafotonya. Tambahan pula, penggunaan skrin AMOLED pada peranti ini mungkin boleh menjadi salah satu nilai tambah pada peranti ini.

Seperti yang kita sedia maklum, penggunaan skrin jenis ini akan meningkatkan kos penghasilan produk kepada pengeluar kerana ianya agak mahal. Selain itu, prestasi ketika bermain permainan video juga amat memuaskan walaupun sekadar bermain pada tetapan grafik sederhana.

Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan lebih awal, Oppo R15 Pro menggunakan cip Snapdragon 660 yang kurang bersesuaian dengan harga yang ditawarkan. Selain itu, kami dapati peranti gagal bertahan untuk tempoh lebih daripada 12 jam dengan penggunaan kerap. 

Jadi secara keseluruhannya, Oppo R15 Pro merupakan peranti yang sesuai untuk mereka yang gemar ber-swafoto namun bagi mereka yang mementingkan kualiti grafik ketika bermain permainan video, mungkin ada peranti lain yang lebih baik untuk anda. Oppo Find X contohnya ;)