OPPO F9 Kini Rasmi Mendarat Di Malaysia - Pengecasan Pantas VOOC Dan Dijual Pada Harga RM1399

Setelah rasmi untuk pasaran global semalam, OPPO Malaysia telah membawakan satu lagi model bagi siri F, OPPO F9 yang menawarkan skrin dengan takuk kecil.

Sebelum ini, OPPO ada memuat naik foto dengan tanda pagar #waterdropscreen memberi bayangan kepada rekaan takuk seakan-akan air yang menitis.

Menggunapakai skrin berukuran 6.3 inci, OPPO F9 menyokong nisbah paparan 19.5:9.

Dibahagian dalaman, ia membawakan cip pemprosesan MediaTek Helio P60 disamping gandingan memori 6GB RAM dan storan seluas 64GB.



 

Seperti model-model yang terdahulu, F9 mempertaruhkan bahagian swafoto dengan lensa 25MP bersama sokongan HDR. Bahagian belakang pula dipasang dengan dwi kamera 16MP serta 2MP.



 

Antara ciri yang bakal menarik perhatian bakal pembeli adalah sokongan pengecasan pantas VOOC Flash Charge. Pengecasan ini menjanjikan 2 jam masa perbualan dengan hanya 5 minit masa cas.

 

OPPO F9 sudah boleh dibeli secara pra-tempah bermula hari ini pada harga RM1399. Pembelian boleh dibuat pada laman dagang dalam talian seperti Lazada, 11Street, Shoppe, kedai konsep OPPO dan pengedar sah OPPO Malaysia.



Penawaran secara fizikal pula akan bermula pada 30 Ogos nanti.