Oppo F9 Diperkenalkan Secara Rasmi, Tampil Dengan Skrin 6.3-inci Bertakuk Kecil

Oppo telah merasmikan model Oppo F9 mereka pada peringkat global semalam(15 Ogos). Ia hadir dengan rekaan skrin waterdrop di mana takuk pada peranti ini kelihatan seperti air yang sedang menitis.

Oppo F9 menggunakan skrin IPS LCD 6.3-inci FHD+ dengan nisbah paparan 19.5:9. Ia juga mempunyai nisbah paparan pada tubuh peranti yang agak tinggi iaitu pada 90.8%.

 



Takuk pada skrin peranti ini menyembunyikan lensa kamera swafoto 25MP yang hadir dengan sokongan HDR. Kamera utama Oppo F9 ini pula terdiri daripada gabungan lensa 16MP + 2MP.

Dari segi dalaman, peranti ini didatangkan dengan sokongan cip MediaTek Helio P60, memori sehingga 6GB serta simpanan dalaman sehingga 64GB ROM. Selain itu, ia dijana oleh bateri berkuasa 3,500 mAh yang menyokong fungsi pengecasan pantas VOOC.

Harga pasaran bagi peranti ini di Malaysia hanya akan diketahui petang ini, di mana Oppo Malaysia dijadualkan akan merasmikan Oppo F9 bagi pasaran tempatan sekitar pukul 4 petang. Anda boleh ikuti siaran langsung pelancarannya di Facebook rasmi Oppo Malaysia petang nanti.

 

Sumber