Pada awal bulan April lalu, OPPO Malaysia telah pun melancarkan model terbaru telefon pintar bagi siri A iaitu OPPO A54.
Telefon pintar ini boleh dianggap sebagai telefon yang sesuai untuk kegunaan harian dan boleh diharap.
Tetapi nak bagi tahu awal-awal, telefon ini bukanlah sesuai untuk dijadikan sebagai sebuah telefon gaming bagi peminat permainan atas talian.
Secara amnya, spesifikasi telefon ini dilengkapi dengan perkakasan sederhana sahaja. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Mediatek Helio P35, didatangkan dengan sistem Android 10, 3 Kamera di belakang (13MP+2MP+2MP) dan kamera hadapan 16MP.
Paparannya pula menggunakan skrin IPS LCD 6.51 inci 720 x 1600 piksel sahaja.
Jadi, apa kelebihannya telefon OPPO A54 ini?
Bateri tahan lama
OPPO tidak mengiklankan A54 mereka sebagai sebuah telefon pintar berprestasi. Sebaliknya mereka memfokuskan kepada keupayaan bateri telefon ini.
OPPO A54 dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5000mAh serta menyokong ciri pengecasan pantas 18W.
Jadi dengan prestasi sederhana serta penggunaan kuasa yang rendah khususnya pada skrin telefon ini, ia pastinya memberikan penjimatan berganda kepada penggunaan kuasa baterinya.
Hasil daripada ujian penggunaan secara intensif ke atas OPPO A54 didapati telefon ini mampu bertahan sekurang-kurangnya antara 8 jam hingga 9 jam.
Dalam tempoh tersebut, aktiviti bermain permainan seperti Mobile Legends, melayari internet, membuat panggilan audio dan video, mesej sosial dan banyak lagi telah diuji pada peranti ini.
Jadi, ia sememangnya sesuatu yang cukup baik bagi mereka yang tidak gemar untuk kerap mengecas peranti mereka dalam sehari.
Jika itu masih belum cukup untuk anda, OPPO menyatakan bahawa A54 mampu bertahan sehingga 91 minit dan boleh bermesej di aplikasi WhatsApp sehingga 85 minit lamanya ketika baterinya hanya tinggal pada tahap 5% sahaja.
Tetapi ketahanan baterinya juga bergantung kepada tetapan pada peranti tersebut seperti kadar kecerahan skrin serta penggunaan Wi-Fi atau bergantung pada sambungan selular.
Apa pun dapat disimpulkan bahawa keupayaan baterinya memberikan kelebihan pada waktu-waktu terdesak ketika anda amat perlukannya.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, OPPO A54 adalah sebuah telefon pintar yang dilengkapi dengan perkakasan biasa-biasa sahaja. Tiada yang mengkagumkan pun jika hendak dibandingkan dengan model telefon dari jenama-jenama lain yang turut ditawarkan pada harga sama.
Malah ia masih menggunakan sistem Android 10 yang sudah agak kebelakang.
Tetapi dengan keupayaan bateri serta ciri pengecasan pantasnya, ia pastinya menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan sebuah peranti yang boleh diharap dan mampu bertahan seharian bagi melancarkan aktiviti harian mereka tanpa perlu sangat bergantung kepada pengecas atau bank bateri.
Malah dari aspek kualiti binannya juga, A54 dihasilkan dengan kualiti terbaik yang memberikan rasa seakan ia sebuah peranti flagship.
OPPO A54 berharga dari RM599.00 bagi model 4GB RAM + 64GB storan dan RM699.00 bagi model 4GB RAM + 128GB storan.
Ia ditawarkan dalam 2 warna menarik iaitu Starry Blue and Crystal Black.