Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
OpenAI Sol_

OpenAI Sahkan Pelancaran Siri GPT-5.6, Model ‘Terra’ Turun Harga

Diterbitkan Julai 8, 2026 · Dikemas kini Julai 8, 2026 oleh ariff bukhari

Pencipta ChatGPT, OpenAI, mengumumkan bahawa siri model kecerdasan buatan (AI) terbaharu mereka yang berkuasa akan dilancarkan kepada umum pada hari Khamis ini, selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan meluluskan pelancaran yang lebih meluas.

Produk baharu syarikat tersebut, siri GPT-5.6, serta model AI canggih yang lain termasuk siri Mythos daripada Anthropic, sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan berikutan keupayaannya yang dikatakan belum pernah terjadi sebelum ini dalam mengenal pasti kelemahan kod yang boleh dieksploitasi oleh penggodam.

Perkara itu telah mencetuskan kebimbangan keselamatan negara, dan OpenAI pada akhir Jun lalu menyatakan bahawa mereka telah berkongsi akses pratonton GPT-5.6 dengan kumpulan terhad rakan kongsi dipercayai yang berpangkalan di AS atas permintaan Washington.

Model bahasa besar (LLM) merupakan teknologi yang mendasari bot sembang dan pelbagai alatan AI lain, dengan keupayaan untuk memproses jumlah data digital yang amat besar.

Siri GPT-5.6 ini mempunyai tiga peringkat: Sol, model flagship baharu syarikat; Terra, versi kelas pertengahan untuk tugasan harian; dan Luna, pilihan yang pantas serta kos rendah.

“GPT-5.6 Sol, bersama-sama Terra dan Luna, akan dilancarkan secara rasmi kepada umum pada Khamis ini. Kami sedang memperluaskan akses pratonton secara global sekarang,” kata OpenAI dalam satu hantaran di platform X pada hari Selasa, tanpa memberikan butiran lanjut.

Agensi berita AS, Axios, melaporkan dengan memetik sumber yang tahu tentang situasi tersebut, bahawa pentadbiran Trump telah memberikan lampu hijau kepada syarikat itu untuk pelancaran meluas GPT-5.6, susulan ujian teknikal dan beberapa siri mesyuarat antara pihak syarikat dan pegawai kerajaan.

AFP telah menghubungi OpenAI, Rumah Putih, dan Jabatan Perdagangan AS untuk mendapatkan ulasan mengenai laporan Axios tersebut.

Perkembangan ini menyusuli situasi serupa yang dihadapi oleh pesaing utama OpenAI, Anthropic, iaitu syarikat pemula di sebalik bot sembang Claude.

Minggu lalu, Anthropic menyatakan bahawa ia akan mula memulihkan akses kepada model AI paling berkuasa mereka, Fable 5 dan Mythos 5, selepas Washington menarik balik sekatan terhadap lokasi pelancaran model-model tersebut.

Sebelum kehadiran Mythos, pentadbiran Presiden Donald Trump mahukan peraturan yang lebih longgar ke atas syarikat AI, bukannya mengetatkannya, dengan harapan ia dapat membantu AS menewaskan China dalam persaingan sengit teknologi AI.

Kerajaan AS kini sedang merangka kriteria tentang model AI yang akan tertakluk di bawah sekatan keselamatan baharu, selaras dengan perintah eksekutif daripada Rumah Putih.

OpenAI pada bulan Jun menyatakan bahawa “kami tidak percaya proses akses kerajaan sebegini patut menjadi amalan lalai (default) jangka panjang” kerana ia “menghalang alatan terbaik” daripada sampai kepada pengguna, perniagaan, dan pihak lain yang memerlukannya.

Syarikat itu menambah bahawa mereka sedang bekerjasama dengan Washington “untuk membangunkan rangka kerja perintah eksekutif siber dan proses yang boleh diulang untuk pelancaran model pada masa hadapan.”

Apabila tersedia secara meluas kelak, OpenAI menyatakan bahawa Terra akan ditawarkan pada separuh harga berbanding model terdahulunya, GPT-5.5, dalam usaha syarikat untuk mengekalkan pelanggan di tengah-tengah persaingan sengit daripada Anthropic dan Google.

Kedua-dua OpenAI dan Anthropic telah memfailkan dokumen IPO sulit dengan pengawal selia AS dan menyasarkan penyenaraian awam pada penilaian mencecah $1 trilion (sekitar RM4.6 trilion), sekali gus meningkatkan lagi taruhan komersial dalam perlumbaan senjata AI antara mereka. – AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • OpenAI Perkenal Cip AI Jalapeno, Dibangunkan Bersama Broadcom
  • Microsoft Surface Dipacu Snapdragon® X2 Tiba Di Malaysia, Harga Dari RM6,999

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Syarikat Minyak UAE, ADNOC Jalin Kerjasama Dengan OpenAI Untuk Guna AI Dalam Operasi
  • Rembayung Kini Guna Grab Untuk Tempahan, Satu 'Booking' Setiap Dua Minggu
  • Korea Selatan Bakal Gandakan Perbelanjaan AI Dan Cip Pada 2027
  • HONOR Pad X7b Kini Di Malaysia Dari RM699, Dua Earbuds Baharu Bermula RM59
  • Epson Lancar SureColor SC-F330, Pencetak Sublimasi Desktop A3 Pertamanya
  • Google Peruntuk AS$160 Juta Untuk Infrastruktur Air Sokong Pusat Data Di Negeri Sembilan
  • 25,000 Lesen Pas Pembelajaran Global Kohort 2 Dibuka 16 November - Pemohon Senarai Menunggu Diutamakan
  • Claude Code Tak Boleh Lagi Klon Game Orang Lain, Walaupun Ditukar Nama
©2026 WISER.MY