Setiap tahun bermula dari 2016, OnePlus akan mengadakan 2 kali acara untuk memperkenalkan telefon pintar mereka iaitu awal tahun dan juga sekitar penghujung dengan siri T.
Awal tahun ini, kita telah disapa oleh OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro. Setelah beberapa bulan, kini tiba masanya OnePlus menyegar semula barisan model dengan telefon T pula.
Namun, untuk OnePlus 8T, hanya satu model sahaja dilancarkan dan tiada OnePlus 8T Pro. Ini adalah kerana OnePlus sebelum ini menyatakan tiada naik taraf yang relevan untuk mewujudkan varian Pro pada 8T.
Spesifikasi OnePlus 8T
OnePlus 8T merupakan model dengan sedikit peningkatan berbanding OnePlus 8. Antara perkara yang terbaharu diperkenalkan adalah pengecasan lebih pantas dan beberapa penambahan perisian.
OnePlus 8T mempunyai skrin rata dengan saiz 6.55 inci FHD (2400 x 1080) berpanelkan AMOLED. Ia turut dilengkapi kadar segar semula 120Hz dan juga 240Hz input sampel. Terdapat lubang memuatkan kamera swafoto 16MP.
Pada bahagian belakang 4 kamera disertakan iaitu 48MP utama, 16MP sudut lebar, 5MP makro, dan 2MP monokrom. OnePlus turut memperkenalkan beberapa ciri kamera baharu seperti Video NightScape, Video Potrait, Video Tracking, dan Super Stabilization.
OnePlus 8T dijana oleh Snapdragon 865. Agak janggal mengapa OnePlus tidak memuatkan Snapdragon 865+ pada 8T. RAM pula adalah dari pilihan 8GB/12GB dan storan dalaman berasaskan UFS 3.1 dari 128GB/256GB.
Antara perkara lain menarik mengenai OnePlus 8T adalah sistem pengecasan pantas. Kali ini, ia menggunakan kuasa dari Warp Charge 65W yang mampu memenuhkan bateri 4,500mAh dari kosong hingga penuh dalam masa hanya 39 minit.
OnePlus 8T menjalankan OxygenOS 11 berasaskan Android 11 dan merupakan antara telefon pertama yang hadir dengan sistem perisian dari Android 11.
Untuk pilihan warna, terdapat dua warna yang boleh dimiliki Aquamarine Green dan juga Lunar Silver.
Harga jualannya adalah bermula 599 Euro (RM2,919) namun untuk pasaran Malaysia, belum diketahui lagi bilakah ia akan dilancarkan dan juga harganya di sini.