OnePlus 6 - Peranti Dengan Kepantasan Yang Anda Perlukan


Peranti mudah alih yang pantas mungkin boleh didapati dengan mudah di pasaran ketika ini. Namun, dengan keberanian pihak OnePlus menggunakan slogan kata 'The Speed You Need' dalam mempromosikan peranti OnePlus 6 ini menyebabkan kami berasa teruja untuk mencuba peranti ini sendiri. Betul ke OnePlus 6 ni peranti terpantas yang berada di pasaran sekarang? Bagi mengetahui jawapan persoalan ini, jom baca apa pandangan kami setelah menggunakan sendiri OnePlus 6 ini.

1.Reka Bentuk Luaran (7.6/10)

Sekiranya anda biasa menggunakan peranti OnePlus, tentu anda akan menjangkakan bahawa reka bentuk luaran peranti OnePlus 6 ini tidak jauh beza dengan rekaan yang ada pada model sebelumnya. Tapi tidak pada peranti OnePlus 6 kali ini di mana mereka telah membuat beberapa perubahan ketara pada peranti ini berbanding model-model terdahulu.



Peranti ini akan hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Midnight Black, Mirror Black dan Silk White. Peranti yang ada pada kami adalah yang berwarna Mirror Black. Untuk maklumat, model dengan warna Silk White cuma tersedia bagi pilihan variasi 8GB RAM/128GB ROM sahaja.

OnePlus 6 menggunakan rekaan kaca 2.5D pada bahagian belakang peranti yang akan memberikan sedikit pantulan cahaya pada peranti. Namun seperti biasa, setiap peranti yang menggunakan rekaan kaca pada bahagian panel belakang pasti akan mempunyai masalah berkaitan kesan cap jari yang mudah melekat padanya.



Bagi kamera utamanya pula, peranti ini dilengkapi dengan kamera dwi-lensa yang dipasang secara menegak di bahagian tengah panel belakangnya. Pengesan cap jari pula diletakkan di bawah lensa kamera tersebut dan di antara keduanya pula terdapat satu lampu untuk kegunaan fungsi flash bagi kamera.

Kami dapati hujung jari kadang kala akan tersentuh lensa kamera utama semasa menyahkunci peranti. Bagaimanapun, ia dibantu dengan kebolehan pengesanan cap jari yang cemerlang di mana ia cuma memerlukan sentuhan yang minima untuk membolehkan peranti ini dinyahkunci.

OnePlus telah memilih untuk mengasingkan butang volume dan butang kuasa peranti ini kepada dua bahagian yang berbeza. Butang kuasa bersama dengan Alert Slider dipasang pada sebelah kanan, manakala butang volume pula dipasang pada sebelah kiri peranti.



Bagi paparan hadapan pula, OnePlus 6 tidak terkecuali menjadi mangsa kepada desakan pasaran untuk menyediakan paparan penuh pada peranti yang menyebabkan mereka terpaksa menggunakan rekaan takuk untuk memberi ruang kepada kamera hadapan dan earpiece.

Peranti ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 6.28 inci dengan nisbah paparan pada peranti adalah 84%. OnePlus 6 menggunakan skrin jenis AMOLED dengan resolusi definisi tinggi penuh dengan nisbah aspek 19:9.

Pembesar suara, bicu audio 3.5 mm serta port sambungan USB Type-C untuk tujuan pengecasan pula dipasang pada bahagian bawah peranti. Dengan berat 117 gram serta ketebalan 7.8 mm, peranti ini agak selesa untuk dipegang, tetapi agak sukar untuk dikawal menggunakan sebelah tangan sahaja.

2.Antaramuka (7.4/10)

OnePlus 6 hadir dengan sistem operasi OxygenOS 5.1.0 dari dalam kotak sebelum menerima kemaskini 5.1.5 tidak lama kemudian. Untuk maklumat, peranti ini baru sahaja menerima kemaskini 5.1.8 daripada OnePlus.



Seperti peranti OnePlus sebelum ini, OnePlus 6 juga hanya mengandungi aplikasi-aplikasi asas daripada Google serta sebilangan kecil aplikasi tambahan sahaja. Antara aplikasi asal Google yang tersedia pada peranti ini ialah Google Calendar dan Google Play Music. OnePlus turut memasang aplikasi 1+ Community sebagai aplikasi tambahan.

Pengguna boleh juga boleh memilih untuk mengunci butang navigasi atau tidak mengikut kesesuaian mereka. Untuk mengakses app drawer, pengguna hanya perlu swipe dari bawah ke atas manakala swipe dari atas ke bawah untuk mengakses notifikasi dan control center.



Tetingkap widget pula boleh diaktifkan dengan sentuh dan tahan di mana-mana bahagian yang kosong pada paparan Home Screen. Selain itu, peranti ini juga akan menyokong beberapa fungsi isyarat pergerakan atau gestures. 

Antara gestures yang boleh digunakan pada OnePlus 6 ini ialah ketuk skrin paparan sebanyak dua kali untuk mengaktifkan peranti dan swipe pada skrin menggunakan tiga jari untuk melakukan tangkapan skrin.

3.Spesifikasi Dalaman (8.4/10)

Spesifikasi dalaman adalah merupakan kekuatan sebenar yang ada pada peranti ini. Hadir dengan cip pemprosesan kelas perdana daripada Qualcomm, iaitu Snapdragon 845 dan dibantu dengan sokongan memori 6GB atau 8GB RAM.

Dari segi storan dalaman pula, OnePlus 6 mempunyai tiga pilihan variasi iaitu 64GB, 128GB serta 256GB yang hadir pada peranti OnePlus 6 buat kali pertama. Walaubagaimapun, sedikit mengecewakan apabila peranti ini masih lagi tidak menyokong fungsi kad mikroSD.



Pengalaman kami semasa bermain permainan video dengan tetapan grafik tinggi seperti PUBG Mobile juga adalah sangat memuaskan. Masalah lag yang minimacuma dapat dikesan selepas bermain permainan video untuk tempoh yang agak lama dan ia adalah disebabkan oleh suhu peranti yang semakin meningkat.

Seperti dijangka, peranti ini dapat menjalankan tugasan dengan sangat baik semasa melayari internet. Kami dapat menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook dan Instagram tanpa sebarang masalah. Ia dibantu dengan pengurusan memori yang cemerlang pada peranti ini.

OnePlus 6 ini dikuasakan dengan bateri berkapasiti 3,300 mAh yang mampu bertahan sehingga lebih dari satu hari dengan penggunaan sederhana. Tambahan pula, peranti ini menyokong fungsi pengecasan pantas Dash Charge yang mampu mengecas sehingga 55% dalam masa cuma 30 minit.

Secara kesuluruhannya, slogan 'The Speed You Need' yang digunakan oleh OnePlus pada peranti ini adalah tepat. Walaupun kepantasan peranti ini tidak dapat dibezakan secara jelas dengan peranti di kelas yang sama dengannya, kepantasannya telah mencapai standard yang kami tetapkan pada peranti ini.

4.Kamera (7.2/10)



Peranti OnePlus 6 menggunakan kamera dwi-lensa yang dibekalkan oleh pihak Sony sebagai kamera utama. Hadir dengan gabungan lensa 16MP dan 20MP dengan bukaan aperture f/1.7, kualiti gambar yang diambil boleh dianggap sangat baik, walaupun masih lagi tidak setanding dengan peranti kelas perdana yang lain.







Kualiti imej yang diambil menggunakan kamera hadapan peranti ini sangat memuaskan di mana tona warna yang ditonjolkan juga amat jelas. Malah, walaupun imej diambil pada suasana pencahayaan rendah, kualitinya adalah agak memuaskan. Noise yang terhasil juga tidak kelihatan begitu ketara.

Pencahayaan normal


Pencahayaan rendah


Tambahan pula, kamera yang dipasang pada peranti OnePlus 6 ini akan disokong oleh penstabilan imej optikal atau OIS yang merupakan satu penambahbaikan terbaru bagi keluaran kali ini. Fungsi bokeh pada peranti ini juga adalah sangat memuaskan.

Bagi kamera swafoto pula, OnePlus 6 hadir dengan lensa 16MP dengan bukaan aperture f/2.0. Ia membolehkan lebih banyak cahaya memasuki lensa sekaligus memberi imej pada pengcahayaan rendah dengan kualiti yang lebih baik.

Pencahayaan normalPencahayaan rendah


Bagi rakaman videonya pula, peranti ini mampu merakam dengan resolusi sehingga 2160p/60fps namun kami mencadangkan anda merakam dengan resolusi 1080p/60fps bagi kualiti video yang terbaik.

Selain itu, peranti ini turut mampu untuk melakukan rakaman gerak perlahan walaupun sekadar pada resolusi 720p/480fps atau 1080p/240fps. Namun, anda boleh merakam sehingga satu minit bagi membolehkan anda untuk memilih bahagian rakaman mana yang anda mahukan.

5.Sistem Nyahkunci (7.0/10)

Peranti ini hadir dengan dua pilihan sistem nyahkunci iaitu pengesanan cap jari serta pengimbas wajah. Pengesan cap jari beroperasi dengan baik, di mana ia dapat menyahkunci peranti dengan pantas. Namun, pengimbas wajah pada peranti ini hanya dapat beroperasi dengan baik ketika suasana cahaya terang sahaja. Maka, sekiranya anda mahu menyahkunci peranti OnePlus 6 anda pada waktu malam, kami lebih sarankan anda untuk menggunakan pengesan cap jari berbanding pengimbas wajah.

Keseluruhan (7.5/10)



Setiap kali OnePlus memperkenalkan peranti baharu, ia semestinya akan memberikan keterujaan kepada peminat mereka. OnePlus 6 ini tidak terkecuali. Hadir dengan reputasi tinggi sebagai peranti kelas perdana dengan harga yang lebih mampu milik, peranti ini dijangka akan dapat memuaskan hati penggunanya. Kualiti yang ada pada sistem cip Snapdragon 845 di samping sokongan RAM sekurang-kurangnya 6GB, OnePlus 6 ini dapat memenuhi standard prestasi dan kepantasan yang diletakkan kepadanya.

Kualiti kameranya yang agak memberansangkan juga turut menjadi salah satu sebab mengapa peranti ini akan terus mendapat sambutan penggemar peranti telefon pintar sepanjang tahun ini. Walaubagaimapun, peranti ini tidak lari dari mempunyai beberapa kekurangan.

Antara kekurangan yang kami dapati pada peranti ini adalah tiadanya sokongan fungsi kad mikroSD selain daripada kapasiti baterinya yang agak rendah bagi pengguna yang gemar bermain permainan video. Namun dengan harga pasaran sekitar RM 2,400 sahaja, kekurangan yang sedemikian dianggap boleh dimaafkan.